Jailani (kanan) dengan mangsa banjir di majlis penyampaian sumbangan daripada syarikat korporat dalam Mukim Hulu Berang, di Dewan PPSK Menerong, Hulu Terengganu, semalam. Jailani (kanan) dengan mangsa banjir di majlis penyampaian sumbangan daripada syarikat korporat dalam Mukim Hulu Berang, di Dewan PPSK Menerong, Hulu Terengganu, semalam.
 
 
HULU TERENGGANU - Penelitian semula dan kajian komprehensif beberapa aspek penambahbaikan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sedia ada akan disegerakan agar ia dapat dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata,  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diberi tempoh enam bulan meneliti terutamanya berkaitan kesalahan siber yang kerap berlaku.

“Tidak dinafikan, isu penyalahgunaan internet terutamanya di laman sosial kian menjadi-jadi kebelakangan ini. Melalui pindahan akta ini nanti, ia diharap mampu lahirkan pengguna siber yang lebih bertanggungjawab dan berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat di dewan Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Menerong di sini, semalam.

Beliau berkata, dengan hukuman lebih berat serta perincian jenis kesalahan yang lebih jelas kelak turut diharap mampu mengekang kesalahan siber agar tiada lagi individu atau pihak yang sengaja mengundang provokasi hingga mengundang keharmonian.

“Kita berikan ruang kepada Pengerusi SKMM baharu, Datuk Seri Dr Halim Shafie bagi mengendalikan perkara ini dan kita percaya dengan pengalaman luas beliau ia pasti memberikan kelebihan untuk SKMM melihatnya dalam aspek lebih meluas,” katanya.

Jailani, yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, 407 keluarga dari lapan kampung di mukim itu yang terlibat banjir menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM60,000.

Sumbangan itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga terlibat dan pihaknya turut mengalu-alukan mana-mana badan korporat untuk turut menyumbang.