ASPAN ALIAS
Tekanan terhadap Najib untuk
berundur semakin kuat kedengaran. Jika kita buat tinjaun di peringkat akar umbi
amat susah mencari orang yang tidak bersetuju untuk Najib berhenti. Dikalangan
‘warlords’ dalam UMNO kini teraba-raba seolah-olah tidak mempunyai jalan lain
selain dari memaksa Najib untuk bersara sahaja. Seboleh-bolehnya Najib tidak
mahu bersara kerana bersara untuk kepentingan negara sudah tidak menjadi budaya
dalam kepimpinan UMNO lagi.
Berlainan dari kepimpinan pra
Mahathir di mana pemimpin mengutamakan perpaduan ahli-ahli parti dan rakyat.
Jika pucuk pimpinan merasakan yang rakyat dan negara akan berpecah kerananya,
pemimpin utama itu dengan senang hati mengundurkan diri. Semasa itu keutamaan
niat dan matlamat seorang pucuk pimpinan itu ialah untuk mengekalkan negara
berada dalam kesejahteraan.
Hussein Onn telah mengumumkan
tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan 1981 selepas sahaja beliau
ditentang oleh Sulaiman Palestin pada tahun 1978. Dalam pertandingan itu
Hussein telah mendapat kemenangan besar dan Sulaiman Palestin hanya mendapat
lebih sedikit dari seratus undi sahaja dari 1200 orang perwakilan.
Tetapi apakah yang menyebabkan
Hussein bertindak mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO
dan Perdana Menteri pada tahun 1981 dahulu? Sebabnya ialah beliau tidak mahu
UMNO itu pecah belah dan beliau telah merasakan walaupun hanya segelintiran
yang tidak bersetuju dengan beliau sokongan terhadap beliau tetap tidak bulat
untuk membolehkan pengekalan perpaduan dalam parti semasa itu.
Hussein mendapat tekanan dari
Pemuda UMNO untuk bersara kerana isu Dato Harun Idris yang dianggap oleh ramai
ahli UMNO khususnya pemuda telah sebagai satu penganiayaan terhadap Harun
semasa itu. Pemuda berkeras untuk membela Dato Harun dan telah memutuskan untuk
menandingi Hussein dalam pemilihan pada tahun 1978, tahun mana Husein sedang
mendapatkan ‘endorsement’ sebagai Presiden parti itu setelah memangku jawatan
itu sejak Januari 1976 selepas kematian Tun A Razak.
Usaha Pemuda semasa itu mendapat
sokongan Timbalan Presiden secara senyap-senyap semasa itu, iaitu Dr Mahathir
Mohamed yang tatkala itu sudah mahukan jawatan Presiden parti itu untuk beliau
sendiri. Oleh itu pertandingan Sulaiman Palestin dengan Hussein Onn itu
membuatkan Dr Mahathir berjaya mendapatkan jawatan Presiden itu lebih mudah
setelah Hussein mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatannya
sebagai Presiden parti dalam pemilihan berikutnya iaitu pada tahun 1981 dahulu.
Persoalannya ialah kenapa begitu
mudah Hussein mengalah dan memberikan laluan kepada Dr Mahathir begitu senang
tanpa sebarang masalah yang membawa UMNO itu kepada perpecahan? Jawapannya
mudah kerana pemimpin semasa itu hanya mahu melihat negara aman melalui
perpaduan kepada parti yang memerintah, UMNO ketika itu. Hussein mahu pun Tun
Razak sebelum itu tidak menganggap meletakan jawatan itu sebagai perkara yang
payah untuk dilakukan kerana yang hanya ada dalam jiwa dan benak mereka
hanyalah keamanan dan perpaduan rakyat dan tidak mahu melihat negara dibawa
kepada arah tuju yang boleh membawa perpecahan negara.
Pemimpin semasa itu tidak
memikirkan masalah keluarga dan menganggap bersara dari jawatan itu sendiri
adalah pengorbanan terhadap rakyat dan negara. Mereka lebih menumpukan usaha
untuk meninggalkan nama yang baik dan tidak mahu sejarah membaca mereka sebagai seorang
pembawa masalah kepada negara. Kenapa mereka mampu untuk menjiwai nilai ini?
Sebabnya mudah kerana mereka tidak memikirkan laba dan keuntungan peribadi dan
keluarga atau harta benda yang berbillion ringgit.
Apabila mereka berjaya menyatukan
rakyat berbilang kaum di negara ini, mereka mengambilnya sebagai kejayaan
peribadi yang sangat berharga untuk dibawa mati, tanpa sebarang persoalan dan
persepsi buruk semasa meninggalkan dunia ini. Mereka mengambil mencapai
‘ultimate perpaduan nasional’ itu sebagai ibadah yang dituntut agama dan
bangsanya. Lagi pula mereka mahukan kehidupan yang tenang semasa waktu-waktu
sisa-sisa hidup didunia ini. Mereka takutkan kepada generasi yang akan datang
yang akan membaca sejarah buruk untuk mereka.
Semuanya ini sudah hilang dan tidak lagi wujud elemen mulia ini dalam kepimpinan negara. Kepimpinan sekarang dari semua pihak sarat dengan kepimpinan yang berpandukan kepada kemahuan peribadi dan kepimpinan negara begitu sarata dengan mereka yang hanya menumpukan tenaga mereka untuk menjadi ‘social climbers’ semata-mata. Mereka adalah dari gulungan yang terlalu banyak kekurangan dalam diri mereka. Mereka tidak lebih dari orang ramai dibawah ini, termasuk diri saya sendiri yang hanya layaknya hanya menjadi pendukung perjuangan dan bukannya untuk menjadi pemimpin.
Itu sebabnya diantara mereka atau ahli keluarga mereka apabila sampai kepuncak mereka mengambil kesempatan untuk menggunakan apa yang ada dihadapan mereka untuk diperguna dengan habis-habisan tanpa menimbangkan moral terhadap tindakan mereka. Yang berangan selama ini untuk menjadi ‘jet setters’ akan menggunakan kesempatan untuk terbang kemerata dan seantero dunia dengan jet-jet kerajaan dan semuanya ini dibayar oleh rakyat.
Pimpinan seperti ini juga tidak mahu mengambil segala ‘accountability’ di atas segala kesalahan dalam menggunakan wang kepunyaan rakyat terhadap kononnya pelaburan untuk negara. Kerugian yang melibatkan kerugian berpuluh-puluh billion ringgit di dalam setiap kes ‘misadventure’ sudah menjadi lazim dan tidak dianggap sebagai bersalah lagi.
Mereka masih selamba melekat kepada kerusi dan jawatan yang penting negara itu. Yang masih menjadi Perdana Menteri tidak mahu dialih dan dianjak, yang menjadi Menteri Dalam Negeri tetap memberikan alasan ‘cock and bull stories’ dalam mempertahankan kesalahan moral dan politik yang mereka lakukan. Tidak ada bentuk kesalahan yang boleh membuatkan mereka mengambil ‘accountability’ dan berhenti sahaja dari jawatan sandangan mereka.
Selalunya pemimpin yang tidak berkemampuan dan lemah tetapi masih ingin untuk berjawatan penting itu adalah mereka dari jenis yang tebal kulit mukanya. Itulah ‘attribute’ penting dalam kepimpinan hari ini baik dari pihak kerajaan mahupun dari pihak yang membangkang.
Tidak ada lagi pimpinan yang terasa yang mereka perlu meletakan jawatan kerana kekal dengan jawatan mereka itu akan memecah dan merosakan negara sehingga ia tidak dapat diperbetulkan lagi.
Mengikut dan mencontohi Hussein Onn tidak menyelerakan bagi pemimpin hari ini kerana tidak dapat kepentingan dan laba yang bertimbun. Kadangkala hendak salahkan orang lain pun susah juga, kerana anak kepada Hussein itu sendiri pun tidak mahu menghargai jiwa dan semangat bapanya itu.
Kita pinjam kata-kata Najib yang sangat popular, ‘at all costs’ kerusi di Putrajaya itu masti dikekalkan, walaupun ia menjahanamkan budaya politik yang bermoral.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan