HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Januari 2015

Benarkah GST tidak terkesan kepada pelajar?




Oleh AZAMIN AMIN 


PELAKSANAAN cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula April depan pastinya tidak akan memberi keadilan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah ini termasuklah para pelajar khususnya di peringkat Institusi Pengajian Tinggi.

Sungguhpun kerajaan akan mengecualikan GST ke atas barangan seperti makanan asas beras, gula, tepung, pengangkutan awam seperti tiket bas, komuter, LRT dan ubatubatan, ia masih tidak dapat meringankan beban yang sedang dan bakal ditanggung oleh para pelajar.

Demikian pendapat yang dilontarkan salah seorang pelajar IPTS, Muhammad Syukri Abd Hamid, 23, Katanya dari awal, penerangan yang diberi oleh kerajaan, dilihat tidak mempunyai masalah namun ia seumpama indah khabar daripada rupa.

“Bagi pelajar seperti kami, GST sebenarnya membebankan kami dari pelbagai aspek kos kehidupan khususnya di ibu kota Kuala Lumpur.

“Kini pun kami sudah terbeban dengan barangbarang yang sudah pun naik harga walaupun GST masih belum dilaksanakan.”

Katanya yang merupakan pelajar jurusan dalam bidang kejuruteraan komputer di universiti swasta di ibu kota, akibat GST nanti keperluan barang-barang asas sebagai seorang pelajar seperti buku dan alat tulis, perkakasan komputer, alat-alat ganti motosikal, semakin meningkat.

“Selain itu kami pelajar yang menyewa rumah akan terbeban apabila sewa rumah bakal dinaikkan oleh penyewa yang mendapat kesan dengan GST dan ini akan membuatkan kami rasa semakin tersepit,”katanya.

GST yang dicadangkan kerajaan Malaysia pada tahun 2009 adalah pada kadar 4 peratus menjadikannya lebih rendah daripada SST pada kadar 6 sehingga 10 peratus.

GST akan mengenakan cukai pada setiap lapisan peringkat bekalan barangan dan perkhidmatan contohnya dari pengilang, pemborong, peruncit atau kedai hinggalah kepada pengguna.

Dengan cukai pada setiap peringkat tambah nilai daripada pengilang, pemborong dan peruncit pastinya harga barang yang dijual kepada pengguna, kata Syukri.

Jika dilihat katanya, contoh kebanyakan iklaniklan GST menampilkan kartun-kartun dan animasi yang ‘tersenyum’ untuk barangan yang tidak dikenakan GST menandakan,isyarat bahawa adalah lebih baik apa jua barangan keperluan tidak dikenakan sama sekali GST.

“Mengapa perlu dikenakan GST jikalau kerajaan sendiri memahami jika GST dikenakan kepada ubatubatan dan pengangkutan awam akan menjadi satu beban.

“Bagi kami, beban itu akan turut terasa jikalau dikenakan pada barang-barang tertentu sekalipun,” katanya.

Sementara itu, Khairul Hussain, 32, yang ditemui Harakah sama sekali tidak bersetuju dengan GST termasuklah sekiranya pengecualian terpilih itu dilakukan terhadap pembelian buku akademik.

Pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang terhad ke atas beberapa buah buku sahaja, tidak menyelesaikan masalah bahkan akan terus membebankan para pelajar.

“Saya sama sekali tidak bersetuju dengan GST termasuklah sekiranya pengecualian terpilih itu dilakukan terhadap pembelian buku akademik.

“Golongan pelajar seperti kami, pasti terbeban sekiranya GST dikuatkuasakan terhadap pembelian buku April ini,” katanya.

Beliau yang merupakan pelajar separuh masa dalam pengajian di salah satu IPT tempatan di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kaunseling merasakan bukan sahaja pengecualian terpilih tidak patut dilaksanakan tetapi mahu kerajaan membatalkan GST sama sekali ke atas semua barangan.

“Saya yang berulangalik setiap minggu untuk ke kelas pengajian ke Kuala Lumpur, sudah merasakan bebannya sekarang apa lagi jika GST dilaksanakan nanti,”katanya.

Katanya berasal dari utara Semenanjung, ia bukan sahaja membabitkan pelajar tetapi ibu bapa yang terpaksa berbelanja lebih untuk pembelian buku yang harganya naik disebabkan GST.

Tiada ulasan: