KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini
menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi tentang laluan yang
digunakan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang mengalami nahas.
Katanya mereka perlu menunggu kerajaan Indonesia selesai membuat
siasatan tentang dakwaan bahawa pesawat itu menggunakan laluan yang
tidak dibenarkan pada hari ia hilang daripada pengesanan radar dan
terhempas.
"Ini kerana kerajaan Indonesia mendakwa laluan itu tidak mendapat
kelulusan, tetapi kerajaan Singapura berkata laluan itu mendapat
kelulusan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan untuk
mangsa banjir di Wisma MCA di sini.
Turut hadir timbalan presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, yang juga
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Timbalan Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun.
Ditanya sama ada pihak berkuasa Indonesia memohon bantuan tambahan bagi
operasi mencari dan menyelamat berkaitan nahas itu, Tiong Lai berkata
kerajaan Malaysia telah menunaikan permohonan negara itu untuk
mendapatkan khidmat penyelam dan setakat ini 100 penyelam telah
dihantar.
Katanya setakat semalam, Malaysia diminta membantu membuat pencarian di
kawasan meliputi 14,985 batu nautika, manakala tiga kapal negara ini
beroperasi di kawasan yang ditetapkan di Laut Jawa.
Pesawat berkenaan terhempas di Laut Jawa berhampiran Pangkalan Bun di
Kalimantan tengah ketika membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal dari
Surabaya, Indonesia, ke Singapura pada 28 Disember lepas.
Terdahulu, mengenai bantuan kepada mangsa banjir, Liow, yang juga
presiden MCA, berkata parti itu menerima sumbangan wang berjumlah
RM365,000 dan barangan bernilai RM392,735 daripada sektor korporat dan
badan bukan kerajaan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan