SHAH ALAM - Kesedaran terhadap kepentingan perlindungan insurans masih
rendah dalam kalangan rakyat Malaysia meskipun ia sangat penting
terutama sekali bagi kawasan-kawasan berisiko tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi
(Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, sikap sambil lewa masyarakat itu
perlu diubah dan mengambil pengajaran ekoran bencana banjir yang melanda
negara.
"Saya rasa sekarang ini nampak sangat bahawa perlindungan insurans
sesuatu yang amat penting sebenarnya. Budaya masyarakat kita sebenarnya
memandang sambil lewa soal perlindungan insurans. Tak ramai yang ambil
insurans.
"Ini satu sikap yang perlu diubah dan bencana alam yang dihadapi saat
ini merupakan satu pengajaran buat kita juga bahawa perlindungan
insurans itu memang penting," katanya kepada Sinar Harian Online.
Ketika diminta mengulas soal perbelanjaan yang perlu dielakkan mangsa
banjir, beliau mengingatkan agar sebarang pembelian di luar keperluan
asasi perlulah dielakkan.
“Benda-benda yang terkeluar daripada keperluan asasi kita terutamanya
yang terjejas dengan banjir, bagi saya perkara itu perlu dihentikan,"
katanya.
Sementara itu, beliau menjangkakan ekonomi Malaysia bakal berdepan
situasi lebih mencabar pada tahun 2015 ini susulan tragedi bencana
banjir yang melanda negara ini.
"Saya rasa keadaan ini mencabar bagi 2015 dan bencana alam yang
dihadapi ini menyebabkan situasi mungkin lebih mencabar. Sebab dalam
perbelanjaan belanjawan yang diluluskan untuk 2015, kita tidak menjangka
akan berlaku bencana alam yang sebegini teruk dalam negara. Kita juga
tidak dapat menjangka berapa kos sebenar untuk membaiki segala yang
rosak.
"Saya jangkakan, keadaan akan menjadi amat mencabar, tambah pula dengan
keadaan negara...belanjawan kita defisit sejak sekian lama dan kadar
simpanan di pihak kerajaan untuk masa kecemasan juga tidak dapat
dipastikan sama ada kerajaan menabung dengan cukup atau tidak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan