HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Januari 2015

Ketua baru 1MDB tidak khuatir dengan hutang RM42b

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Ketua eksekutif baru 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy yakin dana pelaburan berdaulat itu akan dapat membayar balik pinjaman RM41.9 bilion tepat pada masanya walaupun ramai tidak yakin dengan kemampuan dana berkenaan.

Bercakap kepada portal berita Malay Mail Online, bekas tokoh bank di Abu Dhabi itu mengakui 1MDB perlu menangani tanggapan negative dihadapinya.

Namun katanya, beliau tidak dikehendaki untuk menetapkan tempoh tertentu untuk melakukan perubahan malah mengingatkan bahawa beliau bersama 1MDB kurang sebulan tetapi sudah mengenal pasti beberapa cara untuk memperbaiki prestasi.

“Sebahagian daripada mandat saya ialah melakukan kajian stategik menyeluruh urusniaganya.

“Ini baru minggu kedua (saya di sini), sebahagian besar tertumpu kepada pertemuan dan mendapatkan pandangan tetapi saya sudah selesa dan sudah ada beberapa cara untuk memperbaiki prestasi syarikat,” katanya melalui e-mel.

“Saya berkeyakinan penuh dengan keupayaan 1MDB untuk melangsaikan pinjamannya,” tambah beliau.

Pinjaman 1MDB meningkat kepada RM41.9 bilion tahun lalu daripada RM36.2 bilion pada tempoh sama sebelumnya walaupun ia telah melupuskan lebih RM4 juta pelaburan dalam pelbagai portfolio syarikat didaftar di Kepulauan Cayman sejak hujung Mac tahun lalu, lapor agensi berita asing.

Peningkatan hutang ini dipersoalkan oleh wakil rakyat pembangkang yang tidak yakin dengan keupayaannya untuk membayar hutang.

Bagaimanapun, ketua baru 1MDB itu bertegas satu kajian terperinci perlu dilakukan dahulu untuk membolehkan langkah-langkah sewajarnya dilakukan.

“Daripada meletakkan satu tarikh tertentu dan  bertungkus lumus mencapainya, saya rasa adalah penting juga untuk melakukan kajian ini secara matang.

“Oleh itu, saya akan mengambil masa diperlukan untuk memahami bisnes ini dan bagaimana kita boleh memperbaiki prestasinya sebelum membuat apa-apa keputusan,” kata pegawai bank berusia 38 tahun itu.

Arul Kanda mengakui masalah hutang syarikat telah mencetuskan persepsi negatif dan ianya mesti ditangani tetapi bertegas keadaan 1MDB tidak seteruk seperti digambarkan beberapa pihak.

“Kita perlu mengakui wujud persepsi negatif mengenai 1MDB di luar tetapi setelah berada bersama syarikat hampir dua minggu dan mengkaji keadaan kewangan serta operasinya, saya boleh berkata bahawa persepsi di luar lebih teruk daripada keadaan sebenar syarikat.

“Begitupun, saya percaya ini (persepsi negatif) perlu ditangani syarikat. Sejak memegang jawatan ini kurang dua minggu lalu, saya sudah menemui beberapa individu dan kumpulan, termasuk mereka yang kritikal terhadap syarikat, dengan matlamat mendengar pandangan mereka dan berkongsi dengan mereka pandangan dari kaca mata 1MDB,” tambahnya.

Tiada ulasan: