KUALA KRAI: Langkah melarang membina semula penempatan di kawasan yang
terjejas teruk akibat banjir disokong oleh Ketua Pembangkang Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Norzula Mat Diah.
Berkata kepada Antarapos, Norzula yakin tindakan itu perlu diambil bagi
mengelakkan masalah yang sama berulang setiap tahun apabila terjadinya
banjir.
Ini sejajar dengan pengumuman Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang
baru-baru ini yang melarang mangsa-mangsa banjir di kawasan setinggan
sekitar bandar itu membina semula rumah yang hanyut dan rosak akibat
bencana yang melanda penghujung tahun lalu.
"Mereka kini bersedia untuk mencari dana bagi membina penempatan yang
baru. Permohonan dan lampiran nama-nama mangsa yang layak telah diajukan
untuk mendapatkan bantuan penepatan yang baru.
"Kita mahu pindahkan mereka di suatu kawasan yang tidak terkena banjir,
sekaligus kerajaan tidak perlu menghabiskan banyak duit untuk memberi
bantuan (yang sama)," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff sebelum ini
berkata pihaknya akan memantau semua kawasan setinggan terbabit yang
musnah teruk seperti Jalan Sungai China, Kampung Kerinting dan Kampung
Tiong, dimana tindakan tegas akan diambil jika ada yang melanggar
larangan itu.
Katanya ini bagi menjaga keselamatan penduduk daripada terus berdepan
dengan risiko kejadian banjir musim tengkujuh pada masa hadapan.
Sementara itu, Norzula yang juga ADUN Paloh berpendapat mekanisme yang
berbeza perlu difikirkan oleh pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri dan
agensi-agensi kerajaan bagi menangani bencana banjir.
Ini termasuklah usaha menyelamat mangsa-mangsa yang terkandas dan cara menyampaikan bantuan sebelum dan selepas bencana.
"Masalah bantuan (ketika banjir) tidak timbul kerana kita faham apabila
hujan lebat dan air naik, lori dan treler yang membawa barangan bantuan
seperti makanan turut terperangkap di pertengahan jalan.
"Isu sebegini memerlukan perancangan rapi daripada pihak kerajaan.
Banjir terjadi setiap tahun, malah sejak 10, 20 tahun yang lalu. Jadi
pada saya, kita kena sediakan bot-bot yang besar dan dijaga oleh jabatan
kerajaan seperti polis dan tentera.
"Ini kerana usaha menyelamat mangsa-mangsa banjir menjadi sukar dengan
menggunakan perahu dan bot yang kecil seperti yang digunakan sekarang
kerana tidak mampu melawan arus air yang deras," demikian menurut
Norzula.
Kemusnahan akibat banjir di Kelantan pada Disember lalu meninggalkan
kesan yang amat besar, yang mana dianggarkan sekitar RM1 bilion.
Banjir ini direkodkan paling buruk dalam sejarah negara selepas Bah Merah yang melanda Kelantan pada tahun 1960-an dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan