Seorang wakil NGO Islam, Farouk Musa berkata pertemuan beberapa orang pemimpin dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu bertujuan untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) itu menjelaskan bahawa beliau dan dua wakil NGO Islam tersebut tidak mewakili kumpulan 25 orang Melayu ternama (G25), walaupun menyokong gagasan tersebut.
"Ia bukan agenda G25, ia merupakan usaha sendiri di antara kami bertiga.
“Kami mahu menyuarakan kebimbangan mengenai kejadian di negara ini – kebangkitan suara ekstremis dan segalanya mengenai isu Isma (Ikatan Muslimin Malaysia) dan PERKASA.
"Mereka membuat apa saja yang mereka fikir betul, dan tiada siapa yang menegah,” katanya.
Ditanya lanjut mengenai kedudukan Mahathir sebagai penaung PERKASA, yang dilihat banyak pihak sebagai sebahagian daripada masalah tersebut, Farouk menjelaskan bahawa suara oleh bekas perdana menteri itu "penting".
"Najib tidak mendengar nasihat orang lain. Hanya Mahathir yang boleh kata sesuatu yang mungkin dia akan dengar," tambahnya.
Farouk menjelaskan bahawa Mahathir berpengaruh dan tegas dalam menyuarakan penentangan ke atas agenda Islam PAS dan hudud sebelum ini.
"Apa yang membimbangkan kita, kerajaan dan menteri juga menggoda PAS untuk membentangkan rang undang-undang hudud.
“Kita faham, sebagai pemimpin masyarakat sivil, alasan mereka untuk menggoda PAS adalah untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat,” katanya.
Farouk berkata Mahathir menghentikan agenda hudud sewaktu menjadi perdana menteri apabila agenda tersebut semakin mendapat tempat.
“Jadi kami mahu Mahathir nasihatkan Najib dalam agenda hudud, kerana kami fikir ia akan memecah belahkan negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan