HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Januari 2015

Projek hidroelektrik bukan punca banjir di Kelantan - Mahdzir

Oleh Shawaliah Hadir
 
Post Pic





TEMERLOH: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menafikan dakwaan bahawa pembangunan Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu sebagai punca banjir di Kelantan seperti yang disebarkan oleh pihak tertentu di media sosial.

Jelas Timbalan Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, projek yang melibatkan dua empangan itu terletak iaitu di kawasan hutan simpan Tembat dan di bahagian hilir Tasik Kenyir.

Menurutnya projek tersebut dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga dan kerajaan negeri Terengganu, bukannya secara rahsia seperti yang didakwa pihak tertentu.




"Projek tersebut melibatkan pembinaan dua empangan merentasi Sungai Terengganu iaitu Empangan Puah dan Empangan Tembat di Sungai Tembat yang mengalir ke Tasik Kenyir," katanya.

Sebaik sahaja banjir di Pantai Timur mulai surut, tersebar di laman sosial Facebook satu teori bahawa musibah banjir yang melanda Kelantan mungkin disebabkan pembinaan empangan Kenyir 2, yang kononnya tidak diketahui ramai.

Teori yang dibuat pemilik akaun Facebook bernama Johar Othman itu mendakwa pembinaan empangan itu menyebabkan aliran air hujan sepanjang tengkujuh tidak dilepaskan ke tasik Kenyir kerana akan memusnahkan pembinaan empangan kedua itu.



Justeru, aliran air itu dilepaskan ke sebelah hulu sungai yang kemudiannya melimpah ke kawasan bersebelahan iaitu Kuala Krai, Dabong, guan musang, Manik Urai dan beberapa daerah lagi, teori Johar dirujuk sebagai berkata.

Pendedahan teori itu menarik perhatian pelayar internet apabila mencatatkan sebanyak 6,474 perkongsian oleh pelayar Facebook yang lain dan ramai yang mula menimbang kesahihan teori itu.




Menjawab dakwaan itu, Mahdzir menjelaskan kawasan tadahan untuk projek itu dipisahkan dari negeri Kelantan oleh banjaran gunung, justeru segala aliran air permukaan mengalir ke arah kedua-dua sungai tersebut yang akhirnya akan menjadi Tasik Puah dan Tasik Tembat apabila projek itu siap kelak.

Air dari Tasik Tembat akan disalurkan melalui terowong lencongan air ke Tasik Puah yang akan digunakan untuk penjanaan elektrik di stesen permukaan Tembat sebanyak 15 megawatt (MW) sebelum memasuki Tasik Puah, manakala air dari Tasik Puah pula akan disalurkan ke stesen bawah tanah Puah untuk penjanaan elektrik 250MW, ujarnya lagi.

Pembinaan Empangan Puah telah siap dan penakungan tasik telah bermula pada 1 Oktober tahun lepas manakala Empangan Tembat dalam proses pembinaan dan penakungan Tasik Tembat akan bermula Jun tahun ini dan dijangka siap April 2016.

"Lokasi pembinaan dua empangan itu dipilih untuk mengelakkan pembinaan empangan pelana dan segala pelepasan air adalah melalui Empangan Puah dan Tembat di mana air pelepasan akan mengalir di aliran asal Sungai Terengganu dan Sungai Tembat dan seterusnya ke Tasik Kenyir.

"Adalah mustahil untuk air pelepasan dari dua empangan itu untuk merentasi banjaran gunung dan memasuki Kelantan.

"Tiada pelepasan dari Tasik Puah dan mustahil dilaksanakan memandangkan paras air di Tasik Puah setakat 1 Januari lepas masih di bawah paras pelepasan melalui pintu limpahan empangan," terangnya. 
 

Tiada ulasan: