Oleh Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden PAS Datuk Mohd Nakhaie Ahmad mendakwa
ramai kalangan pimpinan parti itu tidak berpegang teguh aspek ketaatan
atau wala' apabila prinsip berjemaah turut diberikan kepada pihak luar.
Menurut beliau, antara pemimpin PAS yang dikenalinya adalah Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kelang Saari Sungib serta bekas Ahli Parlimen
Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad.
Ujar Nakhaie, kedua-dua pemimpin itu masih mengekalkan wala' atau
ketaatan kepada Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) yang pernah dinaungi
mereka sebelum menyertai PAS.
"Wala' ini definasinya adalah ketaatan seseorang itu dan golongan
profesional yang masuk ke dalam PAS termasuk juga golongan ulama muda
sebahagiannya telah pun menganggotai badan NGO lain yang dikenali
sebagai gerakan dakwah.
"Sebenarnya mereka ini daripada NGO seperti IKRAM yang dulu adalah
ISMA, jadi daripada kumpulan ini mereka menjadikan IKRAM sebagai induk
dan orang-orang mereka hanya akan dibawa untuk menyertai medan politik,"
katanya kepada Antarapos.
Menurut beliau lagi, penyertaan pemimpin daripada pertubuhan atau
gerakan dakwah dilakukan bertujuan untuk menguasai dan mendominasi
hirarki tertinggi parti politik termasuk dalam PAS.
"Jadi mereka akan menyusup masuk ke dalam parti-parti politik untuk
menguasai dan banyak di antara mereka dihantar oleh kumpulan ini
menyertai PAS seperti Saari Sungib.
"Saari Sungib itu ketua IKRAM sebenarnya tapi apabila beliau menyertai
PAS terpaksalah letak jawatan tapi ketaatan beliau masih kepada IKRAM.
"Begitu juga seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan banyak lagi yang menyertai
PAS tapi wala' atau ketaatan sebenar kepada kumpulan induk beliau iaitu
IKRAM," katanya.
Pada Mei lalu PAS berdepan pergolakan dalaman dan dilihat semakin parah
selepas timbulnya krisis pelantikan Menteri Besar Selangor, menyaksikan
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik pemimpin-pemimpin
Pakatan Rakyat termasuk dari parti sendiri gara-gara menolak cadangan
komponennya untuk hanya mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar.
Susulan polemik itu, Abdul Hadi semasa muktamar tahunan PAS 2014
menyelar tindakan pimpinan dan ahlinya yang tidak wala' ataupun taat
kepada pemimpin parti dengan menyifatkan ia bertentangan dengan prinsip
berjemaah dan wala' kepada pihak lain adalah haram dalam sebuah jemaah
Islam.
Tegas beliau, ahli PAS bukan sahaja perlu taat malah mesti menjaga adab
dalam berjemaah dan tidak menjadikan parti sebagai alat untuk mencapai
kepentingan peribadi.
Penglibatan pemimpin NGO dakwah untuk menguasai PAS
Penglibatan individu daripada NGO dakwah itu, tambah Nakhaie
menyebabkan konflik dalaman PAS terutamanya dari aspek wala' yang
menjadi pegangan ahli parti berteraskan Islam itu.
"Itu yang menimbulkan masalah wala' ini, mereka hanya menganggotai PAS sebagai lantai di bawah dan induk IKRAM.
"Ia bertujuan menguasai PAS sebagai medan politik mereka," katanya.
Jelas bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ini,
meskipun berdepan kesukaran untuk mendapatkan kepercayaan akar umbi PAS
namun golongan itu yang majoriti bukan ulama bekerja keras dan telah
memperoleh sokongan.
"Ada golongan-golongan itu walaupun mungkin tak banyak kerana ia diatur oleh kumpulan atau jemaah lain untuk mereka.
"Tapi tak semestinya boleh mempergunakan akar umbi PAS tapi mereka
bekerja ke arah itulah dan mereka pun mula mendapat sokongan
sebenarnya," katanya.
Nakahie berkata kumpulan itu turut bekerjasama dengan ulama muda PAS
bagi mengembangkan pengaruh mereka di setiap peringkat parti berkenaan.
"Mereka ini bekerjasama dengan ulama- ulama muda dalam PAS, golongan
ini yang agak terbuka fikirannya, yang lebih liberal, berpandangan jauh,
kumpulan yang progresif atau erdoganlah.
"Ya, tapi mereka ini memerlukan masa untuk mempengaruhi dan menguasai PAS," katanya.
Ulama gagal main peranan utama dalam PAS
Tegas beliau, kegagalan PAS mempertahankan prinsip serta pengaruh dalam
kalangan ahli serta pimpinan disebabkan kelemahan golongan ulama yang
masih berfikiran kolot selain enggan menerima idea-idea baru yang dibawa
ke dalam parti.
"Tetapi kelemahan golongan ulama ini kerana mereka tidak terima, sudah
berapa tahun kepimpinan ulama ini ditonjolkan tapi mereka tidak
mempunyai satu pandangan baik dari segi pemikiran mahupun dari segi
gerakan yang boleh ditonjolkan sebagai satu kejayaan mereka.
"Jadi dengan sebab itu maka terdapat golongan-golongan yang nakkan
perubahan, progresif sedikit berasa kecewa dengan mereka," katanya.
Justeru tambahnya, PAS perlu melakukan 'rombakan' selain tampil dengan
imej dan idea baru sekiranya mahu memastikan ia kekal relevan dalam
persada politik tanah air.
"Itu yang menimbulkan krisis, kalau mereka berwibawa, betul, tidak
hanya retorik, bercakap pun mestilah mempunyai idea-idea baru tapi ini
idea dan retorik lama juga.
"Jadi itu dah membosankan sebahagian daripada aktivis PAS yang baru," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan