shahbudindotcom
Selain
kewajarannya menulis surat kepada FBI itu dipertikai, hubungannya
dengan Paul Phua juga mulai diperkatakan. Adakah beliau mengenali secara
peribadi atau tidak raja judi itu? Apakah pula perlunya sebagai
menteri, beliau menulis surat hanya kepada seseorang yang berjawatan
timbalan pengarah dalam FBI? Kenapa tidak pihak polis saja menulis surat
itu?
Kalau
mahu dititip satu persatu tanda tanya masyarakat terhadap Ahmad Zahid
berhubung suratnya kepada FBI itu, ia sebenarnya cukup berserakan serta
amat melemaskan. Pelbagai aspek dan sudut pertanyaan bermain-main tanpa
jawapan.
Penjelasan
beliau baru-baru ini bahawa surat itu hanya bertujuan menjelaskan
ketidakwujudan kumpulan 14K Triad di negara ini serta Paul Phua bukan
salah seorang daripada anggotanya, tidak mampu menutup banyak
kesangsian orangramai mengenai wibawanya sebagai salah seorang pemimpin.
Selain
bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor turut menyatakan tidak wajar
Ahmad Zahid menulis surat kepada FBI kerana yang memintanya hanyalah
peguam Paul Phua, penjelasan Menteri Dalam Negeri itu mengenai adanya
projek-projek keselamatan negara yang dibantu raja judi itu, menimbulkan
persepsi lain pula.
Sementara
ada yang mendesak beliau mendedahkan apakah projek-projek keselamatan
itu, ramai pula bertanya, selamatkah kita sebagai rakyat apabila
sebahagian faktor keselamatan negara bergantung kepada maklumat seorang
raja judi?
Apabila
semalam Hishammuddin Hussein tampil menafikan beliau pernah menulis
surat kepada FBI semasa menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini sebagai
menangkis satu lagi kenyataan Ahmad Zahid bahawa menteri sebelumnya
juga pernah menulis surat kepada FBI, sekali lagi Ahli Parlimen Bagan
Datoh itu menjadi sasaran persepsi negatif.
Ramai
yang menyoal, benarkah pengakuannya sebelum ini ada menteri terdahulu
turut menulis surat kepada FBI atau beliau tidak bercakap benar
mengenainya? Sementara Hishammuddin berjaya membersihkan namanya dengan
penafian itu, nama Ahmad Zahid pula bertambah kelabu kerananya.
Secara
umumnya, sejak isu Paul Phua muncul, Ahmad Zahid yang selama ini
diyakini dan disenangi sebagai bakal pemimpin masa depan mula
terselubung dengan pelbagai persepsi yang secara perlahan-lahan
menggugat keyakinan ramai terhadap wibawa, intergriti dan imejnya.
Beliau
kini mulai diragui dan tidak diyakini lagi sebagai salah seorang
pemimpin masa depan yang boleh diletakkan harapan untuk menjaga negara
ini dengan lebih baik lagi. Kalangan dalam UMNO pula mulai sangsi,
apakah dengan isu Paul Phua ini Ahmad Zahid wajar terus diberikan undi
dan sokongan?
Ahmad
Zahid sebelum ini diletakkan harapan tinggi dalam UMNO dan kerajaan.
Ramai yang yakin, jika Najib berundur atau diundurkan dan Muhyiddin
bergandingan dengan Ahmad Zahid, harapan BN untuk menang dalam
pilihanraya akan datang jauh lebih cerah lagi.
Yang
lain berpendapat, selepas menggungguli dua kali berturut-turut undi
tertinggi bagi jawatan Naib Presiden UMNO, sudah sewajarnya beliau
merebut kerusi Timbalan Presiden UMNO pula dalam pemilihan parti akan
datang.
Tetapi
dengan terdedahnya surat beliau kepada FBI berkaitan Paul Phua yang
dikenali sebagai raja judi baru-baru ini, namanya jadi tidak seharum
dulu lagi. Imejnya sudah tercalar kerana dipersoal apa pentingnya surat
itu dihantar kepada FBI, apakah hubungannya yang sebenar dengan Paul
Phu serta adakah beliau bercakap benar bila mengatakan menteri
terdahulu daripadanya juga pernah mengutus surat kepada FBI?
Kecuali
semua perkara itu dapat dijelaskan dengan penuh meyakinkan manakala
siapa menteri yang pernah menulis surat kepada FBI juga diberitahu
kepada umum, laluan Ahmad Zahid pasti lebih sukar selepas ini.
Malah
seorang pemimpin UMNO berkata, sekiranya pemilihan UMNO diadakan dua
atau tiga bulan daripada sekarang, sudah pasti Ahmad Zahid akan
kecundang kali ini.
Dalam
persaingan UMNO pula, isu yang timbul melibatkan Ahmad Zahid ini secara
tidak langsung memberi kelebihan kepada Hishammuddin merampas semula
keyakinan perwakilan terhadap dirinya setelah hampir-hampir tercicir
dalam pemilihan yang lalu.
Meskipun
Hishammuddin juga terdedah kepada pelbagai aspek kelemahan dan
kewibawaannya turut banyak diperkatakan sebelum ini, namun persepsi yang
terbentuk dalam pemikiran orangramai berkaitan hubungan antara Ahmad
Zahid dengan Paul Phua, seorang raja judi, lebih parah dan sukar
dipulihkan.
Ini
sekaligus menjadikan, selain Najib Razak, Ahmad Zahid kini merupakan
pemimpin UMNO dan kerajaan yang paling terancam kedudukannya. Dalam
UMNO, beliau diragui dan dipertikai manakala dalam kerajaan pula,
imejnya sudah terhakis dan calar-balar.
Di ketika yang sama, semua ini menjadikan Hishammuddin mungkin lebih lebar senyumannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan