Tan Sri Abu Kassim Mohamed Tan Sri Abu Kassim Mohamed
 
 
KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada oportunis supaya tidak mengambil kesempatan mendapatkan bantuan yang disediakan untuk mangsa banjir.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, mereka yang membuat tuntutan palsu melakukan kesalahan dan boleh didakwa.

“Kami meneliti borang permohonan untuk bantuan kerajaan dan lampiran aku janji akan disertakan (bagi menentukan butir-butir dalam borang itu benar).

“Jika tidak, tuntutan itu dianggap palsu dan tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 18, Akta 2009, SPRM yang melibatkan hukuman maksimum hingga 20 tahun (penjara),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena penubuhan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir, di sini semalam.

Menurutnya, amaran itu dikeluarkan bukan untuk menakutkan mangsa banjir sebaliknya peringatan tegas kepada mereka yang suka mengambil kesempatan dalam tempoh yang sukar ini.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan pemalsuan maklumat.

“Kini proses penyenaraian mangsa menjadi keutamaan supaya tidak ada mereka yang tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.

Abu Kassim berkata, kerajaan secara jelas mempunyai dasar tidak mengira ideologi politik dalam isu penyampaian bantuan tersebut.

“Kita berharap pelaksana di bawah akan melaksanakannya sebagaimana yang kerajaan mahukan. Kita juga ada menerima aduan mengatakan seolah-olah mereka hanya bagi kepada puak-puak mereka sahaja. Saya harap selepas ini tidak ada lagi perkara seperti ini berlaku,” katanya.

Mengenai penubuhan jawatankuasa itu, beliau berkata, sehingga kini pihaknya menerima 45 panggilan daripada seluruh negara sejak ia dilancarkan 12 Januari lalu.

Menurutnya, 36 daripada panggilan itu adalah pertanyaan umum dan sembilan berkaitan dengan aduan ketidakpuasan hati terhadap agensi pengagihan bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya yakin pihak berkaitan melakukan yang terbaik tetapi terdapat juga yang tidak mendapat maklumat atau tidak mendapat penerangan jelas daripada pihak mengendalikan.

“Apa yang penting adalah komunikasi, sebagai contoh, mangsa yang lambat membuat pendaftaran, tetapi mereka terpaksa rujuk ke pelbagai tempat yang akhirnya menyusahkan mangsa sendiri, kerja kita adalah mengelak perkara ini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Kassim berkata, SPRM mendapat kerjasama daripada Sinar Harian untuk menjadi penyalur utama kepada jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir bagi membantu memudahkan lagi penyaluran maklumat kepada mangsa dan pihak berkaitan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau  aduan berhubung pengurusan dana banjir atau ingin dapatkan maklumat boleh menghubungi talian 019-2849134, 019-2849234 dan 019-2849389.