HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Januari 2015

Tidak salah guna pesawat bersama keluarga – Syed Ali

Faiz Zainudin  

Penggunaan pesawat khas adalah perkara remeh-temeh yang sengaja diperbesarkan oleh pembangkang


perdana1



PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pengunaan pesawat eksekutif yang membawa Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya bukanlah satu isu besar yang perlu dipertikaikan.

Menurut beliau, isu tersebut sengaja di mainkan pembangkang kerana mereka gemar mengkritik dan hanya tahu menyalak berhubung percutian Perdana Menteri di Hawaii tanpa memikirkan kepentingan orang lain.

“Penggunaan pesawat tersebut telah diluluskan oleh kerajaan dan selaku ketua negara ianya bukan satu kesalahan menggunakannya bersama keluarga.

“Pembangkang sebenarnya tidak ada kerja nak buat, jauh sekali nak tolong rakyat, jadi masa terluang itu digunakan untuk mencari kesalahan orang lain, reka cerita palsu dan tabur fitnah terhadap Najib dan keluarga,” katanya.

Menulis di dalam entri terbaru blog umnobahagiancheras.blogspot.com beliau berkata, percutian Najib dan penggunaan pesawat khas itu hanya perkara remeh-temeh tetapi sengaja diperbesarkan oleh pembangkang untuk memburukkan reputasi Perdana Menteri.

“Golongan sakit mental ini sememangnya suka membuat kerja bodoh, menyalak dan mencari kesalahan orang lain, tetapi mereka sendiri tidak menyumbang apa-apa untuk negara dan rakyat.

“Mereka ini tidak perlu dilayan, mereka hanya makan gaji buta kerana tidak memberi sumbangan kepada kerajaan. Mereka ‘menyalak’ mengkritik dan mengecam Najib, tetapi setakat ini apa yang telah mereka berikan kepada negara dan rakyat,” katanya.

Pada masa yang sama beliau berkata, Najib juga mempunyai hak untuk bercuti malah percutian pemimpin negara termasuk menteri kabinet merupakan perkara biasa.

Katanya, walaupun bercuti tetapi Perdana Menteri mengambil kesempatan bertemu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama atas dasar hubungan diplomatik antara kedua negara.

Tambah Syed Ali, beliau difahamkan percutian Perdana Menteri bersama keluarga telah dirancang terlebih awal dan secara kebetulan ketika percutian negeri-negeri di Pantai Timur dilanda banjir menyebabkan Najib terpaksa bergegas pulang terdahulu, manakala Datin Seri Rosmah Mansor menguruskan percutian tersebut tanpa suami.

“Kita sendiri boleh bayangkan bagaimana perasaan mereka, tetapi mereka redha kerana faham tugas Najib selaku Perdana Menteri yang perlu bersama rakyat yang dilanda musibah banjir,” katanya.

Jelas beliau, Najib boleh mengambil keputusan untuk meneruskan percutian bersama keluarga dan tidak perlu bergegas pulang kerana tugasnya dilaksanakan dengan baik oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, atas dasar tanggungjawab dan mendahulukan kepentingan rakyat Najib sanggup pulang ke tanah air walaupun dalam tempoh bercuti.

Tiada ulasan: