HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 April 2015

ADUN Pakatan Rakyat jangan hipokrit – Dr Zambry

 
Jangan ditimbulkanlah soal keselamatan. Ia mesti dilaksanakan, sama ada demonstrasi itu dibuat oleh pihak yang menyokong Barisan Nasional atau yang menentang Barisan Nasional.


dr zambry



IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membidas ADUN Pakatan Rakyat negeri supaya tidak bersifat hipokrit berhubung soal keselamatan dengan membesar-besarkan ancaman daripada peserta demonstrasi Demo 604.

Jelasnya, sebelum ini pembangkang negeri dan penyokong mereka sering mengadakan demonstrasi di pintu belakang Bangunan Perak Darul Ridzuan tetapi tidak menyebabkan ADUN Barisan Nasional berasa takut akan keselamatan mereka.

Beliau berkata demonstrasi yang dijalankan pagi Isnin bukan perkara baharu kerana sebelum ini pembangkang pernah melakukan beberapa demonstrasi di pintu belakang bangunan tersebut.

“Sejak jadi menteri besar, berpuluh kali mereka (pembangkang) mengadakan demonstrasi semasa sidang DUN dijalankan, saya rasa pemberita pun masih ingat lagi perkara ini.

“Tapi kami tidak pula membentangkan usul tergempar berhubung soal keselamatan di sidang DUN. Jadi jangan bersifat hipokrit, apabila kena kepada dia (pembangkang) lantas terus meminta untuk membuat satu usul, bila kena kepada BN itu tidak mengapa, tak bolehlah,” katanya, lapor Bernama.

Zambry menyatakan demikian selepas Nga Kor Ming (DAP-Kepayang), semasa sesi soalan lisan di DUN Perak mencadangkan kepada dewan untuk membahaskan usul tergempar membabitkan aspek keselamatan ADUN berikutan demonstrasi di luar dewan.

Pagi Isnin lebih 1,000 anggota daripada pelbagai NGO mengadakan Demo 604 di pintu belakang Bangunan Perak Darul Ridzuan sebagai membantah tindakan 26 ADUN pembangkang berpakaian serba hitam pada istiadat pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri Perak, Selasa lepas.

Menteri Besar Perak itu menegaskan, kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap soal keselamatan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada membabitkan pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Jangan ditimbulkanlah soal keselamatan. Ia mesti dilaksanakan, sama ada demonstrasi itu dibuat oleh pihak yang menyokong Barisan Nasional atau yang menentang Barisan Nasional.

“Tidak timbul soal keselamatan mereka tidak dijaga semasa mereka berada di dalam sidang dewan atau di dalam kawasan dewan,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Tiada ulasan: