Zahid menjamin, POTA tidak akan disalah guna
dan sesiapa pun tanpa mengira perbezaan politik atau pendapat akan
ditahan di bawah undang-undang tersebut.
KUALA LUMPUR : Rang Undang- Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 bagi menangani militan di negara ini diluluskan tanpa pindaan pada 2.25 pagi Selasa, selepas dibahaskan lebih 14 jam di Dewan Rakyat
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu pada peringkat jawatankuasa, berkata kerajaan tidak melihat pindaan yang diusulkan itu perlu dibuat pada masa ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, POTA harus dilihat dengan ‘mata hati’ untuk memahami tujuan sebenar kerajaan memperkenalkan undang-undang itu, serta tidak membandingkan dengan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Beliau turut menjamin, POTA tidak akan disalah guna dan sesiapa pun tanpa mengira perbezaan politik atau pendapat akan ditahan di bawah undang-undang tersebut.
POTA diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan).
POTA dibentangkan sebagai usaha kerajaan bagi menangani aktiviti militan di negara ini berikutan penularan elemen keganasan yang semakin merebak dan mengancam keselamatan negara.
Pembangkang menentang POTA kerana berpendapat rang undang-undang itu menyerupai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan sebelum ini.
Rang undang-undang itu melalui waktu sukar di peringkat jawatankuasa apabila pelbagai pindaan dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pembangkang sehingga sesi perbahasan dan penggulungan di peringkat itu berlarutan sehingga awal pagi ini.
Pembangkang berkeras untuk meminda hampir kesemua 35 Fasal, memaksa lapan undi belah bahagian dilakukan bagi setiap usul pindaan yang dikemukakan sepanjang perbahasan di peringkat jawatankuasa.
Namun, semua undi belah bahagian berakhir dengan undian memihak kepada kerajaan, sekali gus menolak usul-usul pindaan dibawa pembangkang.
Antara cadangan usul-usul pindaan yang dimahukan oleh pembangkang adalah supaya pangkat pegawai polis dalam penangkapan suspek hendaklah tidak rendah daripada Superitendan, selain berhubung tempoh tahanan reman yang digesa tidak melebihi 14 hari berbanding cadangan rang undang-undang itu yang membolehkan suspek ditahan sehingga 21 hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan