MALAYSIAKINI
Penggunaan slogan "Kita Lawan" begitu efektif sehingga ia
digunakan oleh pemimpin Umno kata anggota sekretariat gerakan Kita
Lawan, Akmal Nasir.
Bercakap dalam forum "Black 14 Reformasi ke #KitaLawan", Akmal berkata,
penggunaan hashtag Kita Lawan lahir selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri
Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara lima tahun berhubung kes Liwat
II.
Bagaimanapun, katanya, slogan yang sering digunakan oleh gerakan itu
ketika mengadakan demonstrasi kini digunakan oleh Pemuda Umno semasa
mengadakan pertemuan bersama Presidennya Datuk Seri Najib Razak Isnin
lalu.
"Khairy (Jamaluddin) pun guna "lawan tetap lawan". Nak kata (slogan) itu
ekskelusif, tentu tidak. Nak lawan atau pertahan Najib, terpulang.
"Tapi kita akan kekalkan (matlamat) lawan untuk peralihan kuasa, melawan
bebaskan Anwar dan undur Najib," kata Akmal yang juga pengarah strategi
Angkatan Muda Keadilan (AMK) di forum anjuran Malaysiakini malam tadi.
Turut hadir menjadi panelis pada forum itu ialah aktivis Abdul Malek
Husin, Peguam Lawyer For Liberty Michelle Yesudas dan Editor The
Malaysian Insider (TMI) Amin Iskandar.
Selain itu, ketika ditanya siapakah pihak di belakang sekretariat Kita
Lawan, Akmal berkata, perkara itu tidak timbul memandangkan ia merupakan
sebuah gerakan anak muda.
Katanya, gerakan itu juga tidak hanya tertumpu terhadap isu membebaskan
Anwar, tetapi turut melibatkan isu lain seperti cukai barangan dan
perkhidmatan (GST).
Justeru, pengarah strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu meminta
supaya semua anak muda turun pada perhimpunan 1 Mei depan bagi
menyuarakan rasa ketidakpuashatian mereka terhadap pelaksanaan GST.
"Kita Lawan tak dipolopori oleh mana-mana pihak. Sebab itu (soalan)
siapa sekretariat di belakang Kita Lawan, jika tanya saya, susah nak
cakap kerana ia bergantung kepada suara anak muda.
"Kita Lawan bukan isu kezaliman terhadap Anwar sehaja tetapi pelbagai
isu seperti isu GST. Sebab itu kita minta anak muda turut beramai-ramai 1
Mei nanti.
"Kalau turun ramai-ramai siapa berani nak tangkap secara berkumpulan," kata Akmal.
Sekretariat Kita Lawan akan mengadakan himpunan pada 1 Mei depan bagi
menuntut kerajaan memansuhkan GST yang didakwa sebagai satu cukai
yang zalim.
Perhimpunan di Kuala Lumpur itu mensasarkan seramai satu juta orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan