MALAYSIAKINI
Gerakan demonstrasi di negara ini masih lagi belum matang kerana
dikuasai oleh parti politik kata aktivis dan bekas tahanan ISA Abdul
Malek Husin.
Menurut Malek, gerakan yang ada di Malaysia berbeza dengan di luar
negara seperti Filiphina, Indonesia dan Hong Kong memandangkan hala tuju
gerakan tersebut hanya menjurus ke arah matlamat sesebuah parti.
"Ia belum matang. Yang menyebabkan ia terbenam ialah pergerakan
kepartian yang menguasai pergerakan (demonstrasi). Penentangan dan
perbezaan dengan pemerintah itu lebih terarah kepada penentangan yang
menjurus kepada pergerakan kepartian.
"Parti politik yang menguasai (gerakan). Di Malaysia berbeza seperti di
Filipina, Indonesia. Jauh sekali berbeza dengan di Hong Kong," katanya
dalam forum Black 14 Reformasi ke #KitaLawan anjuran Malaysiakini di
Petaling Jaya, malam tadi.
Menceritakan kembali gerakan Reformasi pada 1998, Malik yang juga
setiausaha di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, ketika
zaman tersebut gerakan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti dan
bersifat menyokong kepada sesuatu tuntutan.
Berbeza dengan gerakan yang ada kini, jelasnya, matlamat sesebuah
gerakan tidak dapat dicapai apabila parti politik turut campur tangan
terhadap tuntutan yang diusahakan oleh sesebuah gerakan.
"Ini kritikan saya terhadap parti, terhadap pergerakan (movement).
Pandangan peribadi saya ialah apabila ada campur tangan (parti) terhadap
pergerakan masyarakat sivil, maka ia akan dipesongkan, disesatkan oleh
agenda parti politik," katanya lagi.
Sementara itu, peguam Lawyer For Liberty (LFL) Michelle Yesudas pula
berpendapat, kekerapan sekretariat Kita Lawan yang mengadakan aktiviti
hampir setiap minggu dikhuatiri akan menyebabkan matlamat asal gerakan
itu akan hilang.
Justeru, Michelle menasihatkan bagi memastikan mesej sekretariat itu
tidak dilupakan, beliau memberi saranan supaya tidak kerap mengadakan
himpunan demonstrasi.
"Jangan setiap hari hendak ada demonstrasi. Kena ada sesuatu untuk
menampungnya. Jika tidak mesej akan hilang. Jangan bagi mesej itu hilang
makna. Kerana jika tidak, mesej itu akan hilang," katanya.
Panelis lain dalam forum tersebut ialah Editor The Malaysian Insider (TMI), Amin Iskandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan