Datuk Syed Mohd Nor Syed Jaafar Datuk Syed Mohd Nor Syed Jaafar
 
 
 
TEMERLOH – Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) tiada halangan terhadap bukan warganegara untuk membuka dan memohon lesen bagi menjalankan aktiviti premis perniagaan runcit di daerah ini.

Yang Dipertua MPT Datuk Syed Mohd Nor Syed Jaafar berkata, bukan warganegara yang memohon lesen dan diluluskan akan dikeluarkan lesen premis oleh MPT sebagaimana peruntukan di dalam Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian (Majlis Daerah Temerloh) 1984.

Menurutnya, merujuk kepada laporan Sinar Harian mengenai sekumpulan komuniti Bangladesh yang menjalankan perniagaan runcit di premis perniagaan sekitar Taman Perindustrian Temerloh minggu lalu, hasil pemeriksaan di tapak pada 13 April lalu mendapati daripada enam premis terdapat empat yang mempunyai lesen.

“Siasatan kita mendapati empat daripada kedai runcit terbabit menggunakan lesen pasangan mereka terdiri daripada warganegara Malaysia dan operatornya adalah Bangladesh iaitu suami kepada pelesen.

“Manakala dua lagi premis yang diperiksa mendapati tidak mempunyai lesen kerana tidak membuat permohonan daripada MPT dan dua peniaga ini terdiri daripada seorang Bangladesh dan seorang warganegara India dirujuk untuk  tindakan selanjutnya,” katanya.}

Syed Mohd Nor berkata, siasatan lengkap sekatan daripada aktiviti perniagaan di kalangan bukan warganegara hanya melibatkan aktiviti perniagaan kecil/penjaja sahaja iaitu melibatkan apa-apa lesen dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (Majlis Perbandaran Temerloh) 2000 bagi maksud melindungi kepentingan penjaja kecil tempatan di kawasan majlis.

Beliau berkata, pemohon juga masih tertakluk untuk menjaga kebersihan premis, bahan jualan dan persekitarannya termasuk mematuhi lain-lain syarat agensi yang berkaitan.

Menurutnya, mereka juga boleh dikenakan tindakan yang bersesuaian sekiranya didapati melanggar syarat kebersihan dan kesihatan sama ada oleh pihak MPT atau agensi lain berkaitan.

“MPT akan sentiasa melakukan pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan aspek kebersihan dan kesihatan sentiasa dipatuhi,” katanya.