SHAH ALAM: Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Ekhsan Bukharee
Badarul Hisham, 24, berhak menuntut agar kerajaan negeri menunaikan
janji untuk mengkaji kenaikan elaun beliau dan rakan seangkatannya yang
lain, kata ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.
Justeru beliau meminta agar kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar,
Azmin Ali memandang serius tuntutan itu dan tidak melayannya dengan
sambil lewa.
"Dia (guru KAFA) berhak berbuat begitu dan dia berhak menuntut janji
yang dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang kerana itu hak mereka.
"Berdepan dan jangan jawab sambil lewa, nak kaji dulu. Nak kaji apa?
Itu janji, jadi mereka (guru KAFA) datang untuk tuntut janji," tegas
Johan ketika dihubungi Antarapos.
Ekhsan sebelum ini dilaporkan membuat kecoh di DUN Selangor apabila
mahu berjumpa dengan Azmin dan Exco Selangor untuk menyerahkan surat -
bertanyakan perihal janji untuk menaikkan elaun guru-guru agama daripada
RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.
Bagaimanapun beliau gagal berbuat demikian dan pulang dengan perasaan hampa.
"Mereka ini datang hanya untuk menuntut apa yang janji, kalau boleh
jawab boleh. Lagi pun mereka ini nak hantar surat sahaja, kalau tak
boleh jawablah tak boleh.
"Bagi saya itu hak dia, itu hak guru-guru KAFA. Jadi, kalau boleh jawab
boleh kalau tak boleh jawab tak boleh. Mereka bukan datang untuk
bergaduh atau berperang pun," ujarnya.
Johan dalam pada itu memberitahu, kekalutan yang dicetuskan Ekhsan
adalah bukti bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor lebih
gemar bermain politik dan tidak bersungguh-sungguh berkhidmat untuk
rakyat terbanyak.
Ujarnya, biarpun janji mengkaji kenaikan elaun KAFA yang dimaksudkan
Ekhsan adalah pada zaman pemerintahan bekas Menteri Besar Selangor, Tan
Sri Khalid Ibrahim, penggantinya Azmin perlu bersedia setiap masa untuk
menunaikannya.
Lebih-lebih lagi, janji itu tercatat dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
"Bagi saya banyak perkara-perkara retorik bagi kerajaan negeri ini
dalam janji manifesto dan segalanya cakap tak serupa bikin. Banyak
perkara yang cakap tak serupa bikin.
"Contohnya pembersihan Sungai Kelang nak dijadikan hub pelancongan
dengan bersihkan air sungai tersebut semua, bajet pun dah diluluskan
dalam Dewan Negeri tapi tak dibuat.
"Sungai macam itu , airnya masih kotor," tambahnya.
Pagi tadi, Ekhsan hadir ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)
untuk menyerahkan tuntutan agar Azmin tidak mengunci mulut bersabit isu
itu.
Ekhsan berkata kenaikan kadar elaun itu amat bermakna buat dirinya dan
guru-guru agama yang lain memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan