Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan ustaz muda Ekhsan Bukharee Badarul Hisham diugut untut ditamatkan perkhidmatan kerana mengadakan sidang media di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) semalam.
Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata pegawainya bukan mengugut sebaliknya hanya memberikan penjelasan mengenai kesalahan yang dilakukan sekiranya Ekhsan tetap meneruskan sidang media itu, lapor Sinar Harian.
Katanya lagi, Ekhsan sebagai guru yang dilantik secara sambilan seharusnya mematuhi perjanjian yang ditandatangani sebelum ini.
“Isu utama JAIS mahu ingatkan dia (Ekhsan) ialah mengenai pelanggaran perjanjian pelantikan yang telah dilakukannya, bukan soal tuntutannya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Ekhsan yang mengadakan sidang media di SUK semalam mendakwa diugut untuk dibuang kerja jika terus memberi kenyataan terbuka kepada media berhubung isu itu.
Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri Selangor itu sebelum ini mendakwa ugutan itu dilakukan oleh seorang pegawai JAIS yang menemuinya di sekolah.
“Salah seorang daripada mereka mengugut saya supaya tidak meneruskan sidang media hari ini (semalam).
“Jika saya teruskan juga, dia menyuruh saya jangan datang sekolah lagi esok, dan hari-hari berikutnya,” Ekhsan dilaporkan sebagai berkata.
Sebelum ini, Ekhsan mencetuskan drama kerana menangis ketika dihalang bertemu wakil rakyat Pakatan Rakyat ketika mahu menuntut janji manifestonya sebelum ini.
Ekhsan mendesak Menteri Besar Selangor Azmin Ali tampil menjawab desakan untuk menaikkan elaun daripada RM1,212 kepada RM1,500 seperti dijanjikan.
JAIS tak wajar, kata Umno
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata JAIS tidak wajar mengambil tindakan ke atas Ekhsan sebaliknya pihak itu seharusnya mengadakan perbincangan bagi membolehkan elaun itu dinaikkan.
Katanya lagi, tindakan Ekhsan itu mungkin dilihat sebagai jalan terakhir yang difikirkan guru KAFA terbabit sebagai jalan terakhir dengan menuntut janji seperti yang disebut dalam manifesto pilihan raya lalu.
“Kita melihat tindakan ke atas guru terbabit jika dilakukan, ia tidak wajar sama sekali kerana sebagai individu dalam golongan sasar, maka haknya untuk mendapatkan kenaikan itu seperti yang dijanjikan pakatan pembangkang sebelum menjadi kerajaan negeri,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan