KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan perlu menghantar semula notis
untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat bagi
membolehkan rang undang-undang berkaitan hudud itu dibahaskan pada
persidangan akan datang, kata Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun
Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata ini berikutan usul berkenaan tidak sempat dibentangkan
dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lepas
setelah bersidang selama 20 hari.
"Setiap kali penggal persidangan Parlimen (berakhir), usul (yang tidak
sempat dibentangkan dan dibahaskan) kena dimasukkan (hantar notis) balik
... kena beri notis 14 hari sebelum hendak bentang (sebarang usul).
"Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan serahkan notis bagi
membentangkan usul berkenaan selepas Parlimen mengeluarkan notis kepada
ahli Parlimen untuk persidangan Dewan Rakyat yang akan datang," katanya
kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darul
Naim di sini, hari ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sebelum ini telah
mengemukakan notis bagi pembentangan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada
18 Mac lepas yang akan membolehkan beliau membentangkan rang
undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah)
1965 bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Rang undang-undang persendirian itu telah dimasukkan sebagai perkara
terakhir (No.24) untuk dikemukakan kepada mesyuarat pada 7 April lepas
namun tidak sempat dibentang untuk perbahasan sehingga Dewan Rakyat
ditangguhkan pada 9 April.
Dun Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II
1993 (Pindaan 2015), atau hudud pada 19 Mac selepas disokong oleh 44
Adun termasuk 12 Adun dari Barisan Nasional (BN).
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata Pas akan
mengadakan perbincangan dengan menteri bertanggungjawab yang akan
bertindak sebagai pencadang dan usul berkenaan juga perlu mendapat
sokongan 15 ahli Dewan Rakyat sebelum boleh dibahas.
"Apa-apa pun mesti ada persetujuan daripada kerajaan, tak boleh lari.
Bukan isu hudud (rang undang-undang persendirian) sahaja, malah isu-isu
lain juga," katanya.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang enggan
mengadakan sebarang mesyuarat dengan Pas selepas berakhirnya pilihan
raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dijadual 7 Mei ini, anggota
Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu berkata tindakan tersebut hanya
merugikan pakatan pembangkang.
"Kalau pakatan pembangkang tak ada hubungan jadi yang rugi semua parti
bukan Pas sahaja, DAP pun rugi, PKR pun rugi, jangan ingat Pas sahaja
yang terjejas.
"Tidak timbul isu Pas keluar daripada pakatan pembangkang ... benda itu
jelas. Muktamar masih lagi berpegang kami (Pas) masih lagi (dalam)
pakatan pembangkang. Soal orang nak bekerjasama itu adalah soal lain,
tapi kami masih lagi dalam pakatan pembangkang," tegas Mohd Amar.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri
Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar
melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April sebagai hari
penamaan calon, pengundian awal pada 3 Mei dan hari pengundian 7 Mei. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan