Nazri mempercayai kebebasan media untuk menulis namun tidak mempercayai kebebasan media untuk menulis berita yang tidak benar.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan bahawa penahanan Penerbit The Edge, Ho Kay Tat; Ketua Eksekutif The Malaysian Insider (TMI), Jahabar Sadiq dan tiga editor kanan portal itu merupakan sesuatu yang wajar.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak polis yang telah mendakwa editorial TMI kerana menghasut berhubung laporan portal berita itu mengenai hudud.
Menurutnya, sebagai editor, adalah tidak wajar untuk mereka bertindak sesuatu yang melebihi dan mengatasi undang-undang di negara ini.
“Masyarakat umum akan mempercayai apa sahaja yang ditulis oleh portal berita. Oleh itu, mereka harus menulis berita dengan tepat dan sahih,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Anugerah Pelancongan Malaysia ke-19.
Jelas Nazri lagi, beliau mempercayai kebebasan media untuk menulis namun menegaskan tidak mempercayai kebebasan media untuk menulis berita yang tidak benar.
“Apa yang ditulis oleh portal tersebut tidak benar. TMI sebagai sebuah portal berita harus memastikan sumber mereka bercakap benar,” ujar beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.
Pada masa sama, Nazri turut menggesa supaya portal itu mendedahkan sumber berita yang memberitahu bahawa Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dan menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
“Kalau sumber portal itu berkata benar, maka dedahkan sumber berita itu,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan