HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 April 2015

Polis buru 3 suspek disyaki sertai IS

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Polis sedang menjejaki tiga rakyat Malaysia yang disyaki menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS).
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sekiranya berjaya diberkas, mereka akan ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
 
Dibawa Sosma, mereka boleh ditahan sehingga 28 hari untuk membantu siasatan.
 
"Kita masih menggunakan undang-undang lama (Sosma). Undang-undang Akta Pencegahan Keganasan (Pota) masih belum dikuatkuasakan.
 
"Pota belum lagi dijadikan undang-undang," katanya di lobi Parlimen, hari ini.
 
Wan Junaidi percaya ketiga-tiga suspek tidak dapat mempengaruhi orang awam kerana mereka tahu mereka sedang diburu polis.
 
Polis bagaimanapun masih tidak mempunyai cukup bukti untuk menahan ketiga-ketiga individu terbabit, ujar Wan Junaidi.
 
Untuk rekod, sehingga 1 April, terdapat 119 rakyat Malaysia dikenal pasti menyertai IS.
 
60 orang daripadanya sudahpun ditahan sementara dipercayai sekitar 46 orang masih di Syria, 10 daripadanya terkorban dan 3 lagi sedang dicari.
 
Katanya, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang bekerjasama dalam membanteras penglibatan rakyat Malaysia dalam IS yang disebarkan melalui sosial media.
 
Beliau juga berkata, 119 rakyat Malaysia yang dikenal pasti itu datang dari pelbagai latar belakang dan oleh itu, tidak wajar jika pihak berkuasa hanya menumpukan kepada sudut agama sahaja.
 
"Ada mereka yang bekerja sebagai suri rumah, jurutera dan akauntan.
 
"Oleh demikian, kita tidak boleh tumpukan perhatian kita kepada institusi dan badan agama sahaja. Kita kena lihat seluruh rakyat Malaysia," katanya.
 
Wan Junaidi berkata beliau akan berjumpa semua parti politik, termasuk parti yang turut dianggotai orang bukan Islam, bagi membincangkan kerjasama dalam mengekang penglibatan Isis di kalangan rakyat Malaysia.
 
 

Tiada ulasan: