shahbudindotcom
Disebalik
Najib Razak menerima sokongan satu persatu, bermula dengan Ketua-Ketua
Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan UMNO Negeri-negeri, hakikat yang
makin nyata ialah apa yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir dalam
serangannya selama ini semakin diakui ada kebenarannya.
Dua
isu pokok yang dipersoalkan Tun Mahathir terhadap Najib ialah berkenaan
1MDB dan keadilan untuk Sirul. Berkaitan 1MDB, antara pertanyaan Tun
Mahathir ialah ke mana perginya wang RM42 bilion yang ia berhutang dan
apa peranan Jho Low dalam syarikat tersebut?
Dalam isu Sirul pula, pertanyaan Tun Mahathir ialah siapakah yang mengarahkannya membunuh Altantuya?
Selepas
Najib mengadakan pertemuan dengan Pemuda UMNO yang menyaksikan beliau
dijulang kemudiannya, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bukan saja
meminta audit terhadap syarikat itu dipercepatkan, malah mahu Jho Low
segera disiasat.
Ramai yang hairan kenapa KJ secara tiba-tiba, tidak lama selepas menjulang Najib, mahukan pula Jho Low disiasat?
Apakah
beliau tidak puas hati dengan penjelasan Najib dalam pertemuan itu atau
tidak percaya dengan pengakuan Perdana Menteri sebelum ini bahawa Jho
Low tiada sebarang kaitan dengan urusniaga 1MDB?
Tidak
lama selepas Jho Low tampil menuding UMNO sebagai "kaki putar" dalam
isu melibatkan dirinya, Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga bekas
Setiausaha Politik Tun Abdullah, Reezal Merican Naina Merican pula
mencabar ahli perniagaan itu agar berani kembali ke tanahair untuk
menjelaskan kaitannya dengan 1MDB.
Dalam
masa yang sama, hari ini juga Tony Pua dari DAP turut mendesak agar
pihak polis segera menyiasat Jho Low dan Najib atas kesalahan melakukan
jenayah kepada pembayar cukai.
Dengan
pihak pembangkang dan UMNO seakan "senada dan seirama" mahukan Jho Low
disiasat, ia seolah-olah semakin ramai mulai sedar bahawa kritikan dan
teguran Tun Mahathir selama ini ada benarnya.
Dengan
menangkap dan menyiasat Jho Low, barangkali banyak maklumat boleh
diperolehi mengenai peranannya dalam syarikat yang bermasalah itu
seperti dengan siapa dia berhubung, siapa yang memberi arahan,
peranannya dalam beberapa entiti pelaburan di luar negara dan sebagainya
lagi.
Secara
logiknya, melalui maklumat daripada Jho Low sajalah kebarangkalian
untuk mengetahui ke mana perginya berbilion-bilion wang 1MDB akan
menjadi lebih mudah.
Dalam
hal ini, adalah terpuji jika Najib dapat bertindak berani untuk
memastikan Jho Low dapat dibawa pulang ke Malaysia dengan kadar yang
segera bagi menjalani proses siasatan yang menyeluruh oleh pihak polis.
Najib
hakikatnya tiada pilihan lagi. Kata-katanya bahawa Jho Low tiada kaitan
dengan 1MDB turut tidak dipercayai oleh menterinya sendiri. Melakukan
audit dan mengeluarkan kenyataan bahawa Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB
juga tidak diyakini.
Muncul
menjawab di televisyen juga akhirnya diperlekehkan orangramai. Apa lagi
yang boleh dilakukan selain memberanikan diri membawa Jho Low ke medan
siasatan dan pengadilan.
Jika
ini dapat dilakukan, bukan saja orangramai memuji tindakannya, bahkan
mungkin mampu memberi kepuasan kepada Tun Mahathir akhirnya.
Begitu
juga dalam isu Sirul. Sejak Tun Mahathir bersuara, keghairahan
orangramai ialah untuk mengetahui siapakah yang memberi arahan kepada
anggota polis itu untuk membunuh Altantuya.
Sirul
dalam pengakuannya pula mengatakan beliau telah diarahkan oleh
seseorang dan hanya menjadi kambing hitam dalam kes Altantuya itu.
Selari
dengan keghairahan orangramai itu, bekas Ketua Polis Negara, Musa
Hassan dalam reaksinya mengatakan pihak polis boleh membuka semula kes
itu untuk disiasat bagi menentukan siapa yang memberi arahan sebagaimana
yang kerapkali ditanyakan oleh Tun Mahathir.
Katanya,
tidak ada sebab kertas siasatan tidak boleh dibuka semula memandangkan
wujudnya laporan polis yang dibuat oleh Altantuya sebelum kematiannya.
Sekali
lagi, Najib juga harus berani mengarahkan pihak polis menyiasat semula
kes pembunuhan itu bagi menentukan keadilan yang hakiki serta menjawab
teka-teki orangramai selama ini.
Hakikat
Najib sudah bersumpah tidak pernah berjumpa atau mengenali Altantuya
tiada kaitan sama-sekali kerana penyiasatan semula hanya menjurus untuk
menentukan siapakah yang memberi arahan kepada Sirul melakukan
pembunuhan itu.
Sama
seperti kes 1MDB, kiranya Najib berani mengarahkan siasatan semula kes
Altantuya ini, ia bukan saja mampu melimpahkan pujian kepadanya, bahkan
juga tiada isu lagi Tun Mahathir meneruskan kritikan dan serangannya.
Ini
kerana ia sesuai dengan soalan mudah Tun Mahathir kepada Najib sebelum
ini - ke mana hilangnya wang 1MDB dan siapa yang beri arahan kepada
Sirul?
Ayuh Najib, segera tangkap Jho Low dan buka semula kes Altantuya...habis cerita!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan