HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 April 2015

Pota lulus: Badan antarabangsa beri amaran

MALAYSIAKINI



 


Dengan mengembalikan penahanan tanpa bicara, Malaysia kini membuka ruang kepada tindakan salah guna kuasa dan bermotifkan politik oleh kerajaan, kata Human Rights Watch (HRW).

Badan pemantau hak asasi sedunia itu menyifatkan kelulusan Akta Pencegahan Keganasan (Pota), yang memberi kuasa penahanan luas kepada pihak berkuasa, sebagai “langkah mundur yang besar” terhadap hak asasi di Malaysia.

Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson (kanan) berkata walaupun undang-undang itu diperkenal untuk menangani keganasan, ia dibimbangi digunakan Putrajaya untuk mendiamkan perbezaan pendapat.

“Kelulusan undang-undang ini mencetuskan kebimbangan serius bahawa Malaysia akan kembali kepada amalan lama apabila agen-agen kerajaan sering menakut-nakutkan dengan penahanan yang tidak jelas tempoh, untuk mengganggu dan mendiamkan pengkritik lantang.

“Dengan mengembalikan penahanan tanpa bicara tanpa tempoh masa, Malaysia membuka kembali ruang untuk tindakan bermotifkan politik dan salah guna kuasa kerajaan, yang ramai beranggapan sudah selesai dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2012,” katanya.

Menang undi 79-60

Rang Undang- Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi Selasa, selepas dibahaskan lebih 12 jam.

POTA diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan).

Sebelum itu, rang undang-undang yang dibahaskan lancar di peringkat dasar, melalui waktu sukar di peringkat jawatankuasa apabila pelbagai pindaan dicadangkan oleh anggota Parlimen pembangkang sehingga sesi perbahasan dan penggulungan di peringkat itu berlarutan sehingga awal pagi ini.

Lebih menyukarkan apabila pembangkang berkeras meminda hampir kesemua 35 Fasal, memaksa lapan undi belah bahagian dilakukan bagi setiap usul pindaan yang dikemukakan sepanjang perbahasan di peringkat jawatankuasa, sebelum undian terakhir dibuat bagi meluluskan rang undang-undang itu.

Bagaimanapun, semua undi belah bahagian berakhir dengan undian memihak kepada kerajaan, sekali gus menolak usul-usul pindaan dibawa pembangkang, lapor Bernama.

Antaranya, cadangan pindaan supaya pangkat pegawai polis dalam penangkapan suspek hendaklah tidak rendah daripada Superitendan, selain berhubung tempoh tahanan reman yang digesa tidak melebihi 14 hari berbanding cadangan rang undang-undang itu yang membolehkan suspek ditahan sehingga 21 hari.

Anggota Parlimen pembangkang turut mengusulkan supaya beberapa peruntukan termasuk bawah Perkara 13 hingga 28 yang menyentuh mengenai perintah tahanan dan sekatan dibatalkan kerana disifatkan berniat jahat.

Menteri: Lihat dengan mata hati

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa, berkata kerajaan tidak melihat pindaan yang diusulkan itu perlu dibuat pada masa ini.

Katanya POTA harus dilihat dengan 'mata hati' untuk memahami tujuan sebenar kerajaan memperkenalkan undang-undang itu, selain tidak harus dibandingkan dengan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Terdahulu, Zahid ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar, berkata elemen pemulihan menjadi keutamaan dalam pelaksanaan POTA, lapor agensi berita nasional lagi.

"Elemen pemulihan terhadap tahanan menjadi keutamaan. Rekod tahanan ISA setakat sehingga undang-undang itu ditiadakan iaitu daripada seramai 10,800 tahanan ISA, 90 peratus berjaya dipulihkan," Zahid dipetik sebagai berkata.

Zahid juga memberi jaminan POTA tidak akan disalah guna dan tiada sesiapa pun yang mempunyai perbezaan politik atau pendapat, akan ditahan di bawah undang-undang itu.


Tiada ulasan: