Kebangkitan kuasa pengguna melalui
pelaksanaan GST tidak akan dapat direalisasikan sekiranya tiada
ketelusan dalam penguatkuasaan.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan berkesan sepenuhnya selagi kakitangan kerajaan yang berkaitan dengan agensi berkenaan terbabit dengan rasuah.
Keraguan itu disuarakan Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dalam entri terbaru di blognya, Zamkata.
Jelas bekas Ahli Parlimen Merbok itu, golongan kapitalis yang sepatutnya menanggung cukai yang dikenakan ke atas mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk mengelak dan mengurang dari membayar cukai.
“GST adalah untuk memerangi kapitalis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan yang tidak sahaja berwajah biasa, tetapi Tan Sri, Datuk dan lain-lain lagi”, jelasnya.
Tulisnya lagi, keadaan yang berlaku akan menyebabkan golongan kapitalis yang selama ini berkuasa dalam senyap terus berleluasa.
“GST boleh memerangi golongan peniaga yang tamak haloba, penipu dan penindas yang lari dari membayar cukai yang sewajarnya, yang mengeksploitasi golongan pengguna yang besar dan kuat di negara ini untuk mengkayakan diri mereka tanpa batas.”
Menurut Zam, selama ini golongan berkenaan mendabik dada dengan mendakwa sumbangan cukai yang mereka berikan telah membantu memaju dan memperkaya negara sedangkan kelicikan mereka mengendalikan ekonomi secara gelap meletakkan kekayaan peribadi yang dimiliki mengatasi kekayaan negara sendiri.
“Bila kesetiaan mereka dipersoalkan, mereka mengungkit-ungkit tentang sumbangan mereka. Jika mereka membayar cukai dengan sebenarnya maka mungkin lebih besar jumlah rakyat miskin di negara ini yang dapat dibantu”, kata Zam.
Sempena pelaksanaan GST yang bermula pada 1 April, beliau menyifatkannya sebagai detik bersejarah kerana ia menandakan kebangkitan kuasa pengguna dan kuasa rakyat ke atas kaum penindas dan kapitalis yang telah lama bermaharajalela di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan