Mukhriz diminta rasional dan mendahulukan
kepentingan parti berbanding kepentingan peribadi walaupun terpaksa
dilabel 'anak derhaka'.
PETALING JAYA: Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir perlu mengutamakan kepentingan parti walaupun terpaksa dilabel sebagai ‘anak derhaka’.
Pengenali blog pro UMNO, mykmu.net menulis Menteri Besar Kedah itu perlu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau mengetuai Barisan Nasional (BN) Kedah.
Katanya, Mukhriz mesti rasional dan mendahulukan kepentingan parti berbanding kepentingan peribadi biarpun bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak sehaluan dengan Perdana Menteri.
“Pada pandangan saya, jika Mukhriz menyokong bapanya dan tidak menyatakan sokongan terhadap Najib, beliau berpotensi dituduh sebagai seorang yang tidak tahu kenang budi, khianat pada Presiden, dilabel sebagai pemecah belah UMNO dan “anak bapa”.
“Jika beliau menyokong Najib dan enggan menyokong kempen Tun M menyerang Najib dengan pelbagai persoalan yang sudah dijawab, maka beliau akan dilihat sebagai “anak derhaka” dan mungkin akan dikata “gilakan jawatan,” tulisnya.
Katanya, jika Mukhriz tetap berdegil, beliau perlu berdepan dengan risiko yang cukup besar termasuk melepaskan semua jawatannya dalam UMNO dan Menteri Besar Kedah.
“Saya yakin jika UMNO Negeri Kedah enggan menyokong kepimpinan Presiden. Pepecahan di kalangan warga UMNO di Kedah juga akan berlaku, (malah) akan dilihat lemah dan kurang diyakini rakyat.
“UMNO di Kedah tidaklah sekuat mana sebenarnya, menang pun hanya majoriti mudah dan bukan majoriti 2/3. Ditambah pula dengan pepecahan dan krisis kepimpinan, saya yakin UMNO Kedah akan menjadi bahan ketawa di kalangan pembangkang,” tulisnya.
Sehubungan itu, beliau, menggesa Mukhriz supaya bijak dalam berpolitik demi kepentingan rakyat dan menjaga kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan