Wilson Lau (kiri) menunjukkan gambar 'wanita' yang
memperdaya mangsa untuk berbogel sebelum memeras ugut untuk menyebarkan
rakaman aksi itu. Turut serta Pengerusi Cawangan Kampung Semarang
Gerakan (Bahagian Bukit Bintang), Philip See. Foto RAJA FAISAL HISHAN /
THE STAR
KUALA LUMPUR:
Akibat termakan pujuk rayu seorang wanita jelita berpenampilan seksi,
dua ahli perniagaan tempatan menerima padah apabila kerugian hampir
RM50,000 selepas menjadi mangsa rakaman video aksi bogel.
Sindiket
merakam aksi bogel yang menggunakan wanita muda dari Filipina itu
sebagai umpan menyasarkan ahli perniagaan dan orang kenamaan di laman
sosial Facebook menggunakan nama 'Ashley Mhay Celeste'.
Pengerusi Biro
Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Wilson Lau berkata, sindiket itu
dikesan selepas beberapa mangsa membuat laporan mengenainya.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu
menggunakan Facebook yang memaparkan wanita cantik dan seksi dengan
menghantar permohonan untuk menjadi kenalan kepada mangsa.
“Selepas diterima sebagai kenalan,
wanita itu kemudiannya menggunakan kata-kata manis bagi memperdaya
mangsa untuk bersembang di laman video Skype dan menanggalkan pakaian
mereka bagi memujuk mangsa untuk turut berbogel.
“Aksi bogel mangsa dirakam tanpa disedari sebelum ia dimuat naik di YouTube secara ‘private’ dan hanya boleh ditonton mangsa.
“Sindiket itu akan memeras ugut mangsa
untuk memberikan sejumlah wang sekiranya tidak mahu video bogel itu
tersebar kepada umum,” katanya pada sidang media di Menara PGRM di sini,
Khamis.
Mengenai mangsa, Lau berkata, kedua-dua
lelaki yang sudah berkeluarga itu mendakwa telah ditipu oleh ‘wanita
cantik dari Filipina’ itu.
“Mangsa pertama berusia 39 tahun apabila
diminta sebanyak AS$10,000 tetapi lelaki berkenaan hanya sempat
memberikan RM3,000 dengan alasan wang adalah milik syarikat selain
disimpan isteri.
“Seorang lagi mangsa pula berusia 43
tahun yang diugut supaya memberikan AS$50,000 dan berdasarkan maklumat
diterima, lelaki itu berikan wang sebanyak dua kali, yang pertama
sebanyak RM5,000 dan kedua RM40,000,” katanya.
Menurut Lau, beliau percaya sindiket yang didalangi warga tempatan dan asing itu akan terus mencari mangsa menerusi Facebook.
“Orang ramai dinasihatkan supaya jangan
mudah percaya dengan kenalan yang tidak dikenali di laman sosial,
terutama mereka yang cuba memujuk rayu dengan menggunakan gambar-gambar
seksi dan ghairah.
“Kita
akan membuat laporan kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia) dan Facebook bagi memantau perkara ini, termasuk akaun yang
meragukan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan