HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 April 2015

Sebagai menteri kewangan, Najib patut ‘memimpin melalui tauladan’



Oleh Alyaa Alhadjri


Konsep kepimpinan melalui tauladan jelas tidak diamalkan oleh pegawai daripada Kementerian Kewangan dalam menangani isu salah guna wang rakyat.

Atau pun mereka benar-benar mengikuti konsep tersebut, dengan mengambil kesempatan daripada “taudalan” yang ditunjuk Perdana Menteri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, dalam tidak mempedulikan kebertanggungjawaban dalam mengurus dan membelanjakan dana awam.

Akhbar The Malay Mail pada 12 April lalu melaporkan kerisauan yang dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Nur Jazlan Mohamed, berhubung kegagalan Kementerian Penerangan untuk mematuhi peraturannya sendiri yang di bawah Arahan Perbendaharaan 304(B).

Nur Jazlan sehingga berkata, jawatankuasa parlimen dwipartisan itu lebih baik “ditamatkan kewujudannya” jika peranannya tidak diambil serius oleh kerajaan.

Di bawah Arahan Perbendaharaan 304(B), kementerian kewangan sepatutnya melaporkan kepada PAC jika melaksanakan apa-apa syor yang dikemukakan jawatankuasa itu.


Namun, Nur Jazlan berkata, amat sedikit maklumat tentang apa-apa tindakan yang diambil terhadap jabatan kerajaan atau agensi yang menggunakan wang rakyat secara meragukan.

“Kementerian tidak memberikan penjelasan yang sepatutnya tentang mengapa gagal mematuhi Arahan Perbendaharaan. Saya faham jika kementerian mengambil masa untuk menjawab soalan itu, namun jika terlalu lama, PAC perlu membangkitkan kementerian itu,” katanya.
“Sudah tiba masanya PAC dipandang serius oleh kerajaan,” Nur Jazlan berkata seperti dipetik.

Dalam laporan susulannya pada 12 April, The Malay Mail juga memetik Presiden badan anti-rasuah Transparency International Malaysia (TI-M) Ahbar Satar, yang menyatakan kementerian kewangan perlu mematuhi arahan “kerana Laporan Ketua Audit Negara juga membangkitkan isu yang sama setiap tahun, namun tiada tindakan yang diambil”.

Sementara itu, bekas pengasas dan presiden TI-M Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dalam laporan sama berkata, Perbendaharaan Malaysia, selaku penjaga kekayaan negara, menghantar “mesej yang salah” kepada agensi kerajaan yang lain.

“Perbendaharaan perlu menghormati peraturannya sendiri. Jika tidak, kita tidak boleh mengharapkan agensi atau pihak lain untuk mematuhinya.

“Jika badan kerajaan kurang rasa hormat kepada kebertanggungjawaban, maka program transformasi kerajaan yang sedang dilaksanakan tidak akan memberi hasil yang diinginkan,” katanya seperti dipetik.

Berikutan siri pertama Laporan Ketua Audit Negara untuk tahun ini 6 April lalu, Ketua Setiausaha Negara Dr Ali Hamsa dan Ketua Audit Negara Ambrin Buang minggu lalu mengadakan sesi bersama media.

Sesi Bersama Media-Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 1 itu diadakan di Angkasapuri – ibu pejabat Radio Televisyen Malaysia (RTM). Pilihan yang ironik, jika melihat hakikat bahawa pengurusan RTM juga dibangkitkan PAC berhubung pembayaran yang dibuat sebelum kontrak rasmi ditandatangani dengan sebuah syarikat.

Dalam sesi itu, Ali dilaporkan mendedahkan bahawa tindakan telah diambil terhadap 132 penjawat awam ekoran pelbagai kes salah laku yang dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2013.

Namun, individu-individu itu hanyalah “ikan bilis” dalam gambaran yang lebih besar.

Tindakan disiplin tidak akan cukup untuk meyakinkan pembayar cukai, bahawa kerajaan komited untuk menguruskan jangkaan kenaikan perolehannya – melalui pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) – dengan cara yang telus dan bertanggungjawab.

Tindakan Nur Jazlan membangkitkan isu itu memang tepat, namun beliau perlu melangkah lebih jauh dan bersuara terhadap Najib dan “penyokong setianya” ekoran sikap hipokrit mereka – seperti apa yang disuarakan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam skandal RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad, Najib dan pemimpin tertinggi Umno dan parti komponen BN menggesa pengkritik agar menghormati peranan PAC sebagai badan bebas untuk menjalankan siasatan terhadap apa-apa dakwaan salah urus kewangan.

Najib dengan jelas gagal untuk “memimpin secara tauladan” dalam memastikan kementerian kewangan mematuhi peraturannya sendiri, dan menunjukkan penghormatan yang sama – seperti gesaannya sendiri – kepada peranan PAC untuk “mendedahkan pembaziran, salah urus dan rasuah” dalam keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Dalam kes ini, Nur Jazlan tidak boleh melihat Najib sebagai “bosnya”, tetapi selaku seorang menteri kewangan yang perlu menjawab kepada “badan bebas” yang diwujudkan Parlimen untuk mengawasi perbelanjaan wang rakyat.


Tiada ulasan: