Semak harga melalui Mykira GST Aplikasi MyKira Gst boleh dimuat turun menerusi Google Play Store atau Apps Store. 
 
 
TELUK INTAN - Pengguna boleh  membuat semakan segera impak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap harga lebih 10,000 barangan menerusi MyKira GST yang lancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ketua KPNDKK  Cawangan Teluk Intan, Akram Karim Mohamad Arip berkata, aplikasi dibangunkan KPDNKK dengan kerjasama MIMOS Bhd itu juga membolehkan pengguna yang tidak berpuas hati membuat aduan melalui saluran e-aduan.

Menurutnya, dalam tiga langkah menerusi MyKira GST, pengguna boleh menyemak  harga barangan dalam julat.

“Semua e-aduan melalui aplikasi ini akan diambil tindakan segera dengan dihantar terus ke pasukan penguatkuasaan.

“Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan Apps Store,” katanya.

Akram Karim berkata, selain itu, pihaknya telah mengeluarkan satu  Notis 21 di sebuah premis perniagaan di kawasan Teluk Intan selepas mendapat maklumat orang awam mengenai harga barangan dijual.

Katanya, setelah mendapat maklumat, pihaknya melakukan pemeriksaan  dan mengeluarkan Notis 21 kepada pihak pengurusan premis perniagaan itu, di sini, semalam.

"Notis 21 ini dikeluarkan untuk memastikan peniaga tidak memanipulasi harga barangan  selepas GST dijalankan pada April ini.

"Peniaga perlu mengisi satu borang untuk diisi bagi mengisytiharkan kos barangan dijual dalam tempoh tiga hari," katanya.

Beliau berkata, jika peniaga gagal untuk mengembalikan borang tersebut, mereka bakal menerima tindakan tegas.

“Di Hilir Perak, Notis 21  diserahkan kepada peniaga tersebut  dan menasihatinya supaya sentiasa mematuhi harga ditetapkan,” katanya.