HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 April 2015

Semoga sokongan terhadap Najib membawa rebah




Oleh RAYUSA



“Kata Khairy, kita perlu mendengar dan menghargai apa yang Mahathir tulis kerana beliau mantan perdana menteri. Tambah beliau, mereka tidak boleh menjadi seperti burung unta yang menyembunyikan kepalanya di dalam pasir dan berharap masalah akan selesai. Katanya, itu cara yang salah.”

WALAUPUN Tun Dr Mahathir Mohamad lebih wajar berehat, serangan berterusan beliau terhadap kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak tetap ada manfaatnya dan amat menarik.

Memang mantan perdana menteri itu masih ahli Umno. Namun demikian, tindakan beliau itu seolah-olah membantu kerja pemimpin Pakatan Rakyat, gabungan pembangkang yang sedang menghadapi krisis.

Pada 4 April lalu, Dr Mahathir menjelaskan bahawa Sirul Azhar Umar juga pernah berkhidmat sebagai pengawal peribadi beliau. Walau bagaimanapun, kata beliau, bekas anggota Unit Tindakan Khas itu tidak membunuh sesiapa.

Jelas Mahathir, orang yang dikatakan telah melakukan pembunuhan itu adalah salah seorang pengawal peribadi beliau. Katanya, Sirul menjaga beliau ketika itu.

Merujuk pada dakwaan Sirul dia telah diarahkan untuk membunuh Altantuya Shaariibuu, Mahathir menegaskan tidak mungkin beliau yang mengarahkan pembunuhan itu. Dalam satu catatan di blognya pada 2 April lalu, Dr Mahathir mensasarkan perdana menteri Najib kerana menganggap dakwaan Sirul itu sebagai “mengarut.”

Sirul berkhidmat sebagai pengawal peribadi Najib yang ketika itu timbalan perdana menteri, semasa pembunuhan tersebut berlaku pada 2006.

Kata Mahathir, timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin paling layak mengambil alih jawatan perdana menteri, tetapi beliau enggan mengesahkan sokongan kepadanya. Kata Mahathir, beliau telah “hilang kepercayaan” selepas dua penggantinya tidak seperti yang diharapkan.

Sebelum dilantik, mereka adalah orang yang paling bersih di dunia, tetapi setelah memperoleh kuasa, mereka berkelakuan tidak baik, keluh Mahathir ketika ditanya mengenai kemungkinan Muhyiddin menggantikan Najib.

Terdahulu, Mahathir menggesa Najib berundur dan berkata mengikut prosedur, calon seterusnya untuk jawatan tersebut adalah Muhyiddin.

Itu terpulang kepada parti untuk memutuskannya, tambah Mahathir. Katanya, ada yang agak layak tetapi jika anda mengikut perlembagaan parti, orang yang paling layak adalah timbalan.

Dari satu segi, kritikan Mahathir itu dapat membangkitkan semangat pemimpin Pakatan untuk terus berjuang menumbangkan kerajaan Umno-BN. Hal tu tidak boleh dinafikan begitu sahaja kerana sejak akhirakhir ini timbul semacam kecenderungan untuk melihat kerjasama part i komponen Pakatan, terutamanya KeADILan dengan Mahathir untuk menjatuhkan Najib.

Namun begitu, dari segi yang lain, lebih elok jika Najib terus menjadi perdana menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke- 14. Jika benar dakwaan Mahathir bahawa BN akan tumbang andainya perdana menteri tidak ditukar, biarlah ia kekal begitu.

Jangan diminta Najib meletakkan jawatan.

Sangat difahami juga mengapa Mahathir begitu ghairah membelasah Najib. Seteru politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu dipercayai amat bimbang jika kerajaan Umno- BN tewas kelak. Beliau akan didakwa atas pelbagai kesalahan dan harapan untuk melihat anaknya. Dato’ Mukhriz Mahathir menjadi perdana menteri turut berkubur.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memberi reaksi yang kelihatan seperti mahu menjaga hati Mahathir dan Najib. Katanya, memandangkan pengaruh besar Mahathir terhadap rakyat, maka apa yang beliau tulis di blog beliau tidak boleh diabaikan.

Oleh itu, kata Khairy, Najib sendiri perlu menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Mahathir meskipun soalan-soalan tersebut dikatakan telah dijawab sebelum ini.

Kata Khairy, kita perlu mendengar dan menghargai apa yang Mahathir tulis kerana beliau mantan perdana menteri. Tambah beliau, mereka tidak boleh menjadi seperti burung unta yang menyembunyikan kepalanya di dalam pasir dan berharap masalah akan selesai.

Katanya, itu cara yang salah. Walau bagaimanapun, Khairy menegaskan Pemuda Umno dan kabinet menyokong Najib.

Sebagai seorang menteri dan ketua Pemuda Umno, tegas beliau, keyakinannya terhadap kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno tidak berganjak.

Ketika diminta mengulas komen Mahathir bahawa Umno- BN akan kalah dalam PRU14 jika Najib terus memimpin, Khairy berkata, “Kami tak bersetuju.”

Dalam perkembangan lain, tidak menghairankan jika Majlis Penyokong BN (BNBBC) tetap menyokong kepimpinan Najib kerana nama pun majlis penyokong, meskipun menggesa beliau menyatakan pendirian dalam isu tersebut.

Menurut presiden BNBBC, Dato’ Seri Shahrir Samad, walaupun para ahli Parlimen parti itu menyokong Najib, perdana menteri wajar menyatakan pendiriannya sendiri. Jelas beliau, BNBBC mampu menjawab semua isu, terutamanya pembelian jet kerajaan, 1MDB, GST, dan BR1M.

Namun begitu, tambah Shahrir, BNBBC memberi pandangan kepada Najib bahawa pasti sampai masa nanti beliau juga perlu menjawab sendiri. Shahrir menyatakan beliau yakin Najib mampu menjawab.

Kata Shahrir, kadang-kadang isu sedemikian tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Beliau menyatakan turut mengambil berat “serangan peribadi” yang dilancarkan oleh Mahathir ke atas Najib dan ada menanyakan perkara itu kepada perdana menteri. Menurut Shahrir, Najib menyifatkan isu antara beliau dengan Mahathir sebagai “panas dan sejuk.”

Mengulas mengenai kes pembunuhan Altantuya yang dibangkitkan oleh Mahathir, Shahrir berkata barisan ahli Parlimen BN mempercayai sumpah laknat Najib sebelum ini, yang menafikan terlibat dengan kes itu.

Jelas Shahrir, BNBBC menganggap isu itu sudah lapuk kerana berlaku lapan tahun lalu dan sebelum Najib menjadi perdana menteri, serta telah melalui proses perundangan hingga ke peringkat tertinggi.
BNBBC memberi alasan oleh kerana kenyataan Najib seperti lebih bernilai meskipun sepatutnya dibuat di mahkamah, mereka tidak ragu-ragu terhadap kedudukan perdana menteri dalam kes tersebut.

Tanpa menyedari sumpah itu tidak relevan, Shahrir juga cuba menekankan hakikat sebagai seorang Islam, beliau telah melihat Najib melakukan sumpah laknat dengan ikhlas.

Beliau seterusnya mendakwa BNBBC tidak sekadar mengikut undang-undang sahaja, tetapi juga bersandarkan agama dan akidah. Lucu kenyataan tersebut kerana beliau cuba menunjukkan Umno selama ini berpaksikan Islam.

Walau bagaimanapun, kelihatan harapan Shahrir itu akan tinggal harapan kerana selepas seminggu pun Najib terus membisu. Ada wartawan yang cuba meminta beliau menjawab perkara yang dibangkitkan itu dalam satu majlis, tetapi tidak dilayan.

Sebaik mendengar wartawan tersebut menyebut nama “Mahathir,” Najib mengangkat tangan sebagai isyarat beliau tidak akan melayan soalan tersebut. Anggota polis yang mengawal Najib juga bertindak mengheret wartawan itu agar menjauhi perdana menteri.

Seorang lagi anggota keselamatan Najib turut menuding jari ke arah wartawan tersebut sebagai isyarat agar tidak mengajukan soalan lanjut.

Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merancang untuk membuat laporan polis di seluruh negara bagi menggesa pihak polis menyiasat Mahathir di bawah Akta Hasutan 1948. Menurut ketua SAMM, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard, tindakan itu diambil susulan kenyataan Mahathir, antaranya berkaitan pembunuhan Altantuya.

Tambah Chegubard, laporan polis sedang dibuat di seluruh negara. Pada 7 April lalu, laporan polis dibuat di IPD Rembau, serta hari berikutnya di Kuantan, Hulu Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

Tiada ulasan: