Selepas
Najib muncul di televisyen untuk menjawab semua kritikan dan serangan
Tun Mahathir terhadapnya, bekas Perdana Menteri itu kemudiannya tampil
lagi untuk mempertahankan hujah serangan dan kritikannya.
Nadanya
bercakap mengenai 1MDB, Jho Low, Sirul, sokongan terhadap Najib,
keyakinan BN dalam pilihanraya akan datang, jelas tidak berganjak
sedikit pun daripada sebelumnya.
Bahkan
jawapan-jawapan Tun Mahathir, terutama mengenai janji Jambatan Bengkok,
lebih memalukan Najib kecuali jika Perdana Menteri dapat membuktikan
tidak pernah membuat janji itu.
Begitu
juga tuntutan Tun Mahathir agar dibentuk sebuah suruhanjaya yang
benar-benar bebas bagi menyiasat segala salah laku dan kecurangan yang
didakwanya berleluasa dalam 1MDB, ia sebenarnya adalah cabaran sekali
lagi buat Najib.
Walaupun
diserahkan kepada Ketua Audit Negara untuk melakukan pengauditan
berkenaan 1MDB, sebagaimana kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim
semalam, ia masih menimbulkan konflik kepercayaan umum kerana jabatan
itu terletak di bawah Kementerian Kewangan di mana Najib adalah juga
menterinya.
Sebelum
ini Lim Kit Siang dan Ibrahim Ali juga pernah menyuarakan perlunya
sebuah Surunjaya Bebas atau Diraja dibentuk bagi menyiasat selepenuhnya
urusan 1MDB.
Dalam
serangannya, Tun Mahathir juga terus mempertikaikan siapakah sebenarnya
Jho Low yang didakwanya begitu berkuasa berurusan dengan wang berskala
besar bagi pihak 1MDB sedangkan dia bukan kakitangan kerajaan atau
sebahagian daripada kerajaan.
Tindakan
Tun Mahathir terus melontarkan pertanyaan mengenai Jho Low tidak lain
ialah kerana Najib dalam temubualnya baru-baru ini masih enggan dan
mengelak untuk menjawab mengenai peranan serta hubungannya dengan ahli
perniagaan Cina yang didapati gaya hidupnya penuh warna-warni bersama
selebriti Hollywood itu.
Di
ketika Tun Mahathir makin agresif melakukan serangan dan semakin ramai
pemimpin UMNO tampil menyatakan sokongan kepada Najib, pertembungan itu
kini memasuki episod baru apabila Mukhriz Mahathir pula digesa
meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah.
Adun
Bukit Lada, Ahmad Lebai Sudin dilaporkan berkata, jika Mukhriz tidak
berani menyatakan sokongan secara terbuka kepada Najib, maka beliau
seharusnya meletakkan jawatannya.
Katanya,
jawatan Menteri Besar yang disandang Mukhriz itu dilantik oleh Najib
dengan sokongan Adun BN dan beliau seharusnya terhutang budi dengan
Perdana Menteri.
Mukhriz
juga, dakwa Ahmad Lebai Sudin, dalam mesyuarat UMNO Kedah hari ini
memberitahu, beliau akan menunggu hasil siasatan audit mengenai 1MDB
sebelum mahu menyatakan sokongannya kepada Najib.
Perkembangan
ini memperlihatkan Mukhriz dalam keadaan serba salah. Tetapi,
sebagaimana budaya biasa dalam UMNO, tidak mustahil lebih ramai yang
akan tampil mendesaknya berundur berikutan kemelut antara Tun Mahathir
dengan Najib ini dengan hasrat tersembunyi "mungkin ada untung" yang
boleh diraih daripadanya.
Ia
mungkin akhirnya menyebabkan sama ada Mukhriz akur untuk berundur
sebagai Menteri Besar Kedah atau Tun Mahathir sendiri akan mengambil
tindakan drastik yang di luar jangkaan sesiapa.
Mengenali
watak Mukhriz, tidak mungkin beliau akan memberi sokongan terbuka
kepada Najib tetapi dalam masa yang sama membelakangkan pendirian
bapanya. Beliau lebih mungkin sealiran dengan bapanya dan sedia
mengambil risiko kehilangan jawatannya.
Meletakkan
jawatan untuk memberi sokongan kepada bapanya secara automatik akan
melonjakkan lagi kekuatan Tun Mahathir untuk terus menekan Najib kerana
ia akan menyebabkan Kedah kembali ke pangkuan PR dalam pilihanraya akan
datang ini.
Jika
semasa era Pak Lah dahulu, Tun Mahathir mengambil tindakan keluar UMNO
untuk menambahkan tekanannya, tidak mustahil beliau akan bertindak
serupa sekali lagi atau mengambil tindakan lain yang di luar dugaan
untuk terus menekan Najib.
Kali ini ia mungkin bermula dengan pengunduran Mukhriz dan kemudian disusuli dengan tindakan lain oleh Tun Mahathir sendiri.
Dengan
kecenderungan Najib untuk terus berkeras dan bertahan pada jawatannya,
Tun Mahathir tentunya tiada pilihan selain mengambil sesuatu tindakan
yang akhirnya akan memperlihatkan UMNO dan BN benar-benar goyang dan
"senget sebelah" sebelum pilihanraya akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan