Walaupun menyedari cabaran hebat bakal ditempuh skuad Harimau Malaya, pengendalinya Datuk Ong Kim Swee sasarkan kemenangan menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, malam esok.
Bercakap dalam sidang media hari ini, beliau berkata walaupun tugas itu berat namun mereka perlu menoleh ke hadapan bagi memulihkan maruah pasukan negara.
"Kita tidak mahu pandang ke belakang lagi. Walaupun dalam tempoh yang singkat, tapi kita juga boleh mencipta sejarah esok," katanya.
Beliau mengulas mengenai praperlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di Wisma FAM, hari ini.
Selepas dibelasah 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) Khamis lalu, beliau mengambil alih tugas jurulatih sementara Harimau Malaya ekoran peletakan jawatan Dollah Salleh.
Mengulas kekalahan kepada UAE, pengendali skuad bawah 23 kebangsaan berkata walaupun perkara itu sudah berlalu, ia sukar dilupakan sesiapa pun.
"Bagi saya yang lepas biarlah lepas, saya janji pemain akan membuat penampilan yang baik pada perlawanan esok.
Teruskan sokongan
"Saya percaya keupayaan mental mereka sudah meningkat dan berharap kita dapat bangkit semula pada perlawanan ini," katanya.
Kim Swee juga berharap penyokong Harimau Malaya terus memberi sokongan kepada mereka dan bukan sebaliknya.
"Kita harap mereka (penyokong) jangan terus menghentam pemain dan berikan peluang kedua supaya mereka dapat buktikan kemampuan diri," ujarnya.
Sementara itu mengulas kekuatan Arab Saudi yang dikenali bekas jurulatih Belanda, Bert Van Marwijk, Kim Swee tidak ambil peduli perkara tersebut.
"Sekiranya beliau bukan jurulatih pasukan piala dunia pun, masih ada tekanan dan kami sedar mereka salah satu pasukan terbaik dari Asia Tengah.
"Mereka mempunyai kelebihan dalam setiap aspek, tapi tidak bermakna kita tidak boleh bersaing dengan mereka.
"Kita sudah buat persiapan dan kerja rumah, pemain perlu berdisiplin dan jangan fikir perkara itu selain fokus pada perlawanan," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan