Penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang diusahakan Tun Razak pada 1959, sewaktu menjadi timbalan perdana menteri, secara tidak langsung membantu mengukuhkan lagi pertalian bandar ini dengan anaknya yang kini sedang berdepan ujian terbesar dalam karier politik.
Musuh ketat nombor satu Najib, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu dilaporkan menyeru warga Pekan agar tidak lagi mengundi Najib sebagai ahli Parlimen mereka buat kali ke-11 dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Namun, seruan bekas perdana menteri keempat itu ibarat mencurah air ke daun keladi semata-mata. Bekas pesara, Wan Hassan Wan Hussein, 72, menyokong kuat Najib kerana mengenangkan jasa ayahnya yang merupakan bekas menteri besar Pahang serta bekas perdana menteri Malaysia yang kedua.
"Ayahnya yang usahakan segala-galanya dulu," katanya sewaktu ditanya sebab beliau menyokong Najib.
Wan Hassan yang memakai baju-T berwarna biru putih dengan lambang Barisan Nasional dan topi dengan lambang sama sewaktu diwawancara berpendapat, Dr Mahathir sewajarnya mengenang jasa "anak Tun Razak" itu yang memenangkannya sewaktu beliau menentang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan Umno 1987.
"Dulu dia (Dr Mahathir) dibuang waktu zaman Tunku Abdul Rahman, tetapi Tun Razak ambil dia balik," katanya merujuk pula kepada pemecatan Dr Mahathir yang dilakukan Tunku pada hujung 1969 akibat perselisihan di antara mereka.
Diminta pendapatnya berkenaan usaha Dr Mahathir menyingkirkan Najib, Wan Hassan mengeluarkan kata-kata berikut:
"Pakcik fikir Dr Mahathir ini macam pakcik juga, sudah tua-tua begini, dia nyanyuk dan kadang-kadang dia lupa" katanya yang ditemui sewaktu pulang mengerjakan sawahnya berhampiran Masjid At-Taqwa, Pekan.
Seorang lagi penyokong Najib, Husna Ahmad Kahlon, 44, berkata beliau berpuas hati dengan taraf hidupnya sekarang dan merasakan keadaan di negara ini masih stabil.
"Saya memang masih sokong Barisan Nasional (BN) sebab saya rasa Malaysia masih okay," kata pengerusi Taman Bimbingan Kanak-kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang aktif dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu.
Najib merupakan ahli Parlimen Pekan sejak 1976, sewaktu beliau bertanding menggantikan bapanya yang meninggal dunia.
Bapanya yang dilahirkan di Pekan pada 1922 juga merupakan ahli Parlimen bandar ini sejak kemerdekaan Malaya lagi.
Dengan sejarah warisan keluarga yang begitu berakar umbi di sini, bandar Pekan ini dengan Najib ibarat isi dengan kuku.
Bagi seorang peneroka tanah rancangan Felda Chini 3 sejak 1981, Rozmah Jusoh, 62, penyingkiran Najib daripada jawatannya adalah perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya. "Dia kan orang Pahang.
Kewujudan 8 tanah rancangan Felda dalam Parlimen Pekan sememangnya diketahui umum sebagai peti undi selamat buat Najib.
Ditambah pula dengan kemasukan undi dari sebuah kem tentera di kawasan itu, selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003, kedudukan Najib di sana amat selamat dan selesa.
Buktinya, walaupun hampir kalah dan hanya menang dengan majoriti beberapa ratus undi pada 1999, akibat sentimen pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib kembali menang bergaya dengan majoriti besar 35,000 pada PRU 2013.
Pencabarnya ketika itu, Fariz Musa daripada PKR, mengakui kesukaran menembusi kawasan Felda.
"Harapan kita cuma pada generasi ke-2 dan ke-3 Felda sebab bagi generasi pertama ini, Felda terlalu sinonim dengan Tun Razak.
"Itu menjadikan Umno terlalu tegar dengan peneroka Felda. Bagi mereka, Felda itu Tun Razak dan Tun Razak itu Felda," katanya.
Pada masa sama katanya, kewujudan kemudahan seperti Koperasi Felda yang menjual barangan keperluan harian kepada peneroka pada harga lebih murah daripada pasaran melindungi mereka daripada kesan kenaikan harga barang.
"Orang Felda ini tidak lapar macam kita. Sekurang-kurangnya setiap minggu mereka mendapat wang harian mereka daripada Felda," kata Fariz.
Bagi pengundi Pekan, anak emas warisan Tun Razak ini perlu terus disokong sebagai perdana menteri Malaysia.
Darah yang mengalir dalam tubuh Najib adalah simbol kebanggaan serta tradisi setempat yang tiada tolak ansur dan akan terus dijunjung mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan