QURNISHA HAMKA
Pakatan Harapan ditubuh
setelah selesai Perbincangan Meja Bulat yang berlangsung selama lebih
tiga jam dan diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail. - Foto TRP/Wan Kah Hoong
SUBANG JAYA, Secara rasminya hari ini, Pakatan Harapan ditubuh melibatkan PKR, DAP dan juga Parti Amanah Negara tanpa Pas.
Pakatan tersebut tertubuh setelah selesai
Perbincangan Meja Bulat yang berlangsung selama lebih tiga jam dan
diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Kita muafakat penubuhan satu Pakatan Harapan cadangan namanya.
“Krisis dan kepincangan kepimpinan Najib
tidak boleh berterusan… Mengambil kepentingan rakyat ini untuk
kepentingan rakyat parti-parti yang hadir bersetuju untuk membuat
pakatan pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan,” katanya kepada
wartawan ketika sidang media di Empire Hotel hari ini.
Susulan daripada penubuhan Pakatan
Harapan itu, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan dengan diwakili
Setiausaha Agung setiap parti bagi membentuk dasar gabungan dengan lebih
terperinci.
“Mulai dari hari ini, Pakatan Harapan
akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk
membela rakyat dan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional.
“Sebuah Jawatankuasa Khas dengan diwakili
oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti akan ditubuhkan untuk
memperhalusi terma-terma penubuhan Pakatan Harapan dan lain-lain,”
katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Wan Azizah
turut menyatakan keterbukaan Pakatan Harapan untuk menerima mana-mana
parti lain untuk bersama mereka meskipun tidak merujuk langsung kepada
Pas.
Malah katanya lagi, hasil perbincangan
sepakat melalui meja bulat berkenaan, Pakatan Harapan bersedia untuk
melantik Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana
Menteri Malaysia.
Langkah pertama Pakatan Harapan adalah
mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri
sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
“Kami yakin beliau adalah di antara
pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus
kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang
ditinggalkan Datuk Seri Najib Razak,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan