Barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang baru diumumkan penubuhannya hari ini.
SUBANG JAYA – [DIKEMASKINI] Pakatan Harapan hari ini ditubuhkan selepas rundingan meja bulat antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan pakatan pembangkang baharu di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili ketiga-tiga parti berkata, penubuhan tersebut merupakan muafakat pakatan pembangkang dalam memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya lagi, penubuhan tersebut merupakan usaha untuk menyatukan sokongan rakyat terhadap parti pembangkang.
"Krisis kepimpinan negara dan tekanan kewangan akibat pentadbiran (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan penyelesaian segera. Semakin lama krisis ini berterusan, semakin menderita rakyat menanggung beban ekonomi yang terpaksa dipikul sehari-hari.
"Krisis yang melanda negara ini mendesak parti-parti pembangkang untuk bersatu dan menentang kerajaan dengan lebih berkesan. Harapan rakyat tinggi supaya sebuah parti pakatan pembangkang bersatu dapat diwujudkan untuk mengambil alih kepimpinan dan pentadbiran Najib," kata Wan Azizah dalam sidang media hari ini.
Menurutnya lagi, penubuhan pakatan baharu ini juga bertujuan mengekang salah tadbir dan kepincangan yang dilihat berlaku dalam pentadbiran Najib.
"Seperti yang kita dapat lihat, pada PRU lepas, kita dapat lihat impak sokongan rakyat terhadap pembangkang yang bersatu semasa PRU tersebut. Kita dapat lihat sokongan jitu dan padu rakyat yang mahukan pertukaran pentadbiran kerajaan pada masa itu.
"...Parti-parti yang hadir dan bersidang dalam persidangan meja bulat yang dipanggil oleh saya hari ini bersetuju untuk mengumumkan perikatan pakatan pembangkang yang dinamakan sebagai Pakatan Harapan dan ia berkuat kuasa hari ini. Ini adalah untuk kepentingan rakyat," ujar beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan