Semalam, bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Khairuddin ditangkap dipercayai disebabkan oleh laporan yang dibuatnya dengan penyiasat-penyiasat di luar negara terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Beliau ditangkap dan direman dahulu pada 18 September lepas di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen. Selepas beliau dilepaskan beliau ditangkap semula dibawah Sosma.
Khairuddin
kini mengadapi tuduhan di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan,
dipercayai untuk kesalahan-kesalahan “sabotaj” atau “percubaan untuk
sabotaj Negara”
Persatuan Hak Asasi Manusia
(Hakam) mengambil pendirian yang sama dengan Majlis Peguam dan banyak
lagi badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain dan juga semua warga Malaysia
yang berfikiran munasabah dalam mengkritik dan mengecam tindakan ini
sebagai tindakan yang menindas dan bertentangan dengan kedaulatan
undang-undang.
Sosma merupakan satu akta yang
bersifat autoritarian dan menindas dan ia kini digunakan pula untuk
melindungi perdana menteri (yang sepatutnya bertanggungjawab kepada
rakyat) daripada penelitian.
Dalam perbandingan
yang begitu ketara, individu yang mengugut untuk mengadakan rusuhan di
Jalan Petaling pula dipandang ringan dan tidak berdepan dengan tindakan
polis.
Ini menyerlahkan lagi penyalahgunaan kuasa dan tindakan-tindakan penguatkuasaan ini yang mempunyai agenda politik.
Sosma
bertujuan menangani kesalahan-kesalahan sekuriti yang “memudaratkan
keselamatan awam di dalam, atau sekuriti Persekutuan atau mana-mana
bahagian Persekutuan”.
Persoalannya ialah,
bagaimana tindakan Khairuddin iaitu memfailkan laporan di luar negara
berkenaan 1MDB memudaratkan keselamatan awam negara?
Laporan-laporan
tersebut mungkin menyebabkan sesetengah pihak berasa tidak selesa
tetapi itu tidak boleh menjadi asas bagi satu penangkapan.
Tambahan
pula, Khairuddin akan dikecualikan di bawah Seksyen 4(3) Akta Sosma
yang menyatakan: “Tiada seorang pun boleh ditangkap atau ditahan di
bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti
politiknya”.
Kepercayaan politik atau aktiviti
politik pula didefinisikan di bawah Seksyen 4(12) perenggan (b) dan (c)
masing-masing sebagai “pernyataan pendapat yang ditujukan terhadap
mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan” dan “pengambilan tindakan yang
ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan”.
Pada pandangan kami, penangkapan ini adalah tidak sah di sisi undang-undang khususnya di sisi Sosma.
Agensi-agensi
penguatkuasaan harus memilih pendirian mereka sama ada peranan mereka
adalah untuk melindungi rakyat atau untuk melindungi pemimpin-pemimpin
daripada bertanggungjawab untuk tindakan-tindakan mereka sama ada betul
atau salah.
Pilihan tersebut sepatutnya jelas
tanpa sebarang keraguan. Khairuddin patut dibebaskan dengan segera dan
sikap pihak berkuasa yang giat mencabul hak asasi manusia dengan
sewenang-wenangnya mestilah dihentikan.
Biar
sedikit kewarasan, keadilan dan pendekatan yang menghormati kedaulatan
undang-undang kembali diamalkan dengan segera dalam atur cara
pentadbiran negara ini.
Insiden ini adalah
salah satu daripada tindakan bersiri yang bersifat menindas dan diambil
secara sewenang-wenangnya oleh pihak yang berkuasa untuk melindungi
perdana menteri daripada memberi jawapan kepada rakyat.
* Datuk Ambiga Sreenevasan ialah presiden Hakam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan