KUALA LUMPUR, “Saya bukan penganjur, tetapi saya akan berada di sana dengan 30,000 orang-orang saya,” kata Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.


Dia membuat kenyataan itu sebagai menjawab persoalan samada dia adalah pengajur perhimpunan Merah Melayu yang dijadual diadakan pada 16 September ini.

Jamal bagaimanapun berkata, dia tidak dapat mendedahkan siapa penganjur perhimpunan itu, tetapi menegaskan, dia menyokong kuat mereka.

Namun, katanya, maklumat terperinci mengenai perhimpunan itu akan didedahkan tidak lama lagi.

“Saya akan membawa NGO di bawah saya dan orang Umno dalam Bahagian saya, mungkin hampir 30,000 orang ke kawasan Bukit Bintang. Lokasi sebenar akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi.

Pada perhimpunan besar-besaran itu, katanya, jika tidak kerana Bersih 4.0, Baju Merah tidak akan berbuat demikan, sambil menyalahkan perhimpunan Bersih kerana `mencetuskan `kemarahan Melayu’.

“Terima kasih kepada perhimpunan haram Bersih 4, kerana mereka melanggar undang-undang dan menentang polis selain membuat perhimpunan di kawasan Dataran Merdeka, mereka membuatkan Melayu dari parti politik dan NGO marah.

“Jika tidak kerana Bersih 4, perhimpunan 16 September tidak akan dibuat. Dengan perhimpunan Bersih 4, yang kita lihat lebih disertai DAP serta Cina, Melayu tidak boleh lagi bersabar.

“Dengan `tagline’ yang mereka gunakan, poster dan sepanduk menghina pemimpin Melayu yang dipilih secara demokrasi dalam pilihanraya umum,” kata Jamal.

Dia menambah, perhimpunan 16 September yang katanya akan mendapatkan sokongan Sabah dan Sarawak, akan membuktikan `majoriti rakyat’ masih mempercayai demokrasi dalam pilihan raya umum.

Beberapa poster sudah disebarkan dalam media sosial, mengajak Melayu bersatu menentang cabaran dan sebagai membalas perhimpunan Bersih 4.0.

Semalam, NGO Otai Reformasi mendesak kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap perhimpunan itu, sambil mendakwa perhimpunan itu berbahaya apa lagi menggunakan perkataan `darah’ dalam moto mereka, `Himpunan Maruah Melayu, Tanah Tumpahnya Darahku’.

Jurucakap NGO itu, Ronnie Liu turut mendakwa bahawa Jamal adalah penganjur perhimpunan berkenaan.