KOTA BHARU, Pertubuhan Kebangsaan Ibubapa dan Mahasiswa Perubatan Mesir, Malaysia (Muafakat Mesir) memohon kerajaan persekutuan supaya menarik balik pembekuan kemudahan pinjaman kepada pelajar perubatan yang belajar di Mesir.


Presidennya, Safian Taiyib Hamdin berkata, lebih 2,500 pelajar perubatan yang mengikuti pengajian di sana tidak mampu untuk menampung pembiayaan yuran pengajian yang selama ini ditanggung Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Katanya, mereka tiada pilihan lain selain menyambung pengajian di sana selepas Kementerian Pendidikan tidak dapat menyediakan tempat pengajian untuk mereka di negara ini.

“Kita terima alasan pembekuan pada 2013 kerana pergolakan yang berlaku di sana. Tetapi sekarang keadaan Mesir sudah aman dan saya harap kerajaan dapat tarik balik pembekuan tersebut.

“Rata-rata yang belajar di sana adalah atas pembiayaan sendiri dan jika kerajaan tidak membantu, kami, ibu bapa terpaksa membenarkan anak-anak kami menarik diri daripada pengajian itu walaupun sudah menduduki tahun kelima,” katanya kepada media di perkarangan rumahnya di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan kejatuhan nilai mata wang negara ketika ini, ia menambahkan lagi bebanan pembiayaan mereka.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan ibu bapa terpaksa menambah sebanyak 30 peratus untuk membayar yuran tahunan anak-anak mereka.

“Kebanyakan ibu bapa pelajar ini bukanlah berasal daripada orang senang dan mereka adalah golongan petani. Malah ada antara mereka terpaksa bergadai harta benda demi menanggung anak mereka di sana.

“Pertubuhan memandang berat pengorbanan yang telah dibuat oleh ibu bapa dan ia menjadi kewajipan kerajaan untuk membantu.

“Pertubuhan juga ada membantu seorang dua pelajar yang langsung tidak mampu untuk membayar yuran, dengan mengutip derma daripada ahli. Seorang dua kita masih mampu, jika terlalu ramai kita sendiri buntu,” katanya.

Safian berharap pihak kerajaan dapat bertindak dengan segera dan dapat meringankan beban para pelajar di sana.

Katanya, pelajar di sana merupakan prospek negara dan kesemua mereka adalah golongan Bumiputera yang akan kembali menabur bakti kepada negara ini.