KUALA LUMPUR,  Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos menegaskan, beliau hanya bertindak sebagai orang tengah untuk kumpulan yang dikatakan akan berhimpun di Petaling Street, Sabtu ini.


Jelasnya, kumpulan tersebut sebelum ini mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap peniaga-peniaga di Petaling Street yang menjual barangan tiruan.

“Saya ketika itu hadir sebagai orang tengah untuk menyuraikan peserta. Ketika itu, saya minta mereka bersurai dan berjanji akan memastikan tuntutan mereka ditunaikan.

“Saya bukan orang munafik. Bila saya berjanji, saya akan tunaikan dan tidak akan lepas tangan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, polis akan menjalankan siasatan dan menahan Jamal, sekiranya terdapat bukti menunjukkan beliau cuba mencetuskan rusuhan di Petaling Street, pada Sabtu ini.

Jamal mendakwa kenyataannya pada Rabu lalu telah disalah tafsir, kononnya beliau mahu membawa 5,000 orang ke Petaling Street, dengan niat sengaja mencetuskan huru-hara.

“Kenyataan saya disalah erti. Bukan saya yang hendak berhimpun, tetapi ‘mereka’ yang berkumpul di Petaling Street, pada 916, tidak berpuas hati tuntutan mereka tidak dilayan dan tidak ada sebarang tindakan terhadap peniaga di sana,” katanya tanpa menamakan ‘mereka’ yang dimaksudkannya.

Susulan itu, kata Jamal, beliau telah dihubungi polis pada pagi tadi,  untuk membantu siasatan.

“Polis ada hubungi saya pagi tadi, minta saya bantu siasatan. Saya tidak mempunyai masalah untuk beri kerjasama penuh.

“Hari ini Hari Raya (Aidiladha), jadi saya akan jumpa polis esok. Kejadian ini berlaku di Ampang, jadi saya akan ke IPD Ampang, selepas solat Jumaat,” katanya.