Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Jika
bibit perbalahan di antara pihak Menteri Besar Selangor dengan parti
peneraju negeri itu, PKR, tidak ditangani dengan cermat dan bijaksana,
ia mungkin akan memutikkan tragedi politik yang besar sekali lagi.
Pertembungan prinsip di antara kaedah memimpin negeri dengan amalan
budaya politik PKR akan sekali lagi teruji jika menteri besar sekarang,
Azmin Ali termakan racun beberapa pihak yang mahu isu ini menular.
Pimpinan PKR nampaknya sedikit cemas apabila ada gerakan rakyat yang
bangkit mempersoalkan integriti parti itu keseluruhannya dalam janjinya
mewujudkan budaya dan rukun hidup lestari di Selangor.
Kumpulan aktivis alam sekitar, grup pengguna dan kumpulan yang sentiasa
memandang sinis motif sektor korporat yang terbabit dengan pembangunan
infrastruktur, kini mulai membuat onar.
Bagi mereka PKR yang menjadi teraju kerajaan negeri Selangor, kini
mulai cenderung pada pemusatan tenaga demi memesatkan lagi pembangunan
negeri maju Selangor – satu legasi ala Umno-BN.
Mereka khuatir harga yang perlu dibayar oleh rakyat jika projek-projek
raksasa seperti lebuhraya bertol yang dikhabarkan sudah diluluskan oleh
kerajaan Azmin akan mengancam kesentosaan hidup rakyat.
Kerajaan Selangor didakwa meluluskan pembinaan Lebuhraya Sungai
Besi-Ulu Kelang (SUKE) sepanjang 32 kilometer sebagai laluan alternatif
kepada Lebuhraya Jaringan Tengah II (MRR2) dari Sri Petaling ke Ulu
Klang, melalui Sungai Besi, Cheras, Kajang dan Taman Putra Ampang.
Konsesi 60 tahun dianugerahkan kerajaan persekutuan kepada syarikat
Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) dan ia dijangka membantu
menyelesaikan masalah kesesakan trafik beberapa lebuh raya utama di
Lembah Klang.
Pembinaan lebuh raya itu disasarkan menjadi laluan alternatif bagi
mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) khususnya
di kawasan Ulu Klang, Ampang dan Pandan Indah.
Khabar ini merimas dan mencemaskan presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Aziah Wan Ismail serta penyokongnya dalam saf kepimpinan parti kerana
beliau mendakwa tidak tahu menahu mengenai kelulusan yang diberikan itu.
Meskipun Selangor dipimpin oleh PKR, Wan Azizah dan juaknya cuak luka
lama akan berdarah kembali – kerajaan negeri tidak melaporkan pada
pimpinan parti berhubung isu pembangunan besar dan kontraversil itu.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dilaporkan berkata, Azmin diminta
memperjelaskan dakwaan yang tiga lebuh raya di negeri itu sudah
diberikan kelulusan tanpa memaklumkan kepada kepimpinan tertinggi PKR.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau akan
mendapatkan penjelasan daripada Azmin berhubung perkara itu pada sesi
pembentangan Belanjawan Selangor Jumaat ini.
Lantas masuklah campur politik orang yang pernah menjadi mangsa budaya
pimpinan PKR yang kabur dalam menentukan garis sempadan kuasa ahli yang
memerintah kerajaan negeri dengan pimpinan parti.
Individu berkenaan ialah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Belum sempat Azmin menyatakan pendiriannya berhubung isu pembahagian
sempadan pengaruh dan kuasa ini, beliau segera menyokong inisiatif Azmin
yang kelihatan “membelakangkan parti” itu.
Bekas Menteri Besar itu berhujah, proses kelulusan selalunya dibuat
melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan hanya jika
perlu, anggota MMKN akan memaklumkan kepada parti masing-masing.
"Saya tidak tahu tentang perkara tersebut (pembinaan tiga lebuh raya).
Sebenarnya perkara mengenai kelulusan biasanya diluluskan melalui
mesyuarat exco (MMKN)," kata Khalid.
Malah Khalid menghuraikan bahawa Azmin selaku menteri besar Selangor
boleh memberi penjelasan berhubung perkara itu dalam sidang Dewan
Undangan Negeri (DUN).
"Kalau ada dalam mesyuarat exco, maknanya ada rekod mengenai perkara
ini. Perkara ini boleh dijelaskan dalam sidang DUN yang akan berlangsung
minggu depan," katanya.
Hujah Khalid ini bersandarkan sejarah. Oleh kerana mempertahankan
haknya sebagai ketua eksekutif kerajaan negeri Selangor yang membuat
keputusan yang terbaik untuk negeri berkenaan, beliau dimusuhi pimpinan
PKR sendiri.
Akibatnya Khalid digugurkan daripada jawatannya sebagai menteri besar
Selangor kerana antara lain, melaksanakan program penstrukturan air di
negeri itu tanpa memaklumkan kepada partinya.
Selain kehilangan kedudukan itu, beliau turut dilucutkan keahlian PKR.
Nasihat Khalid pada Azmin itu boleh dianggap juadah racun bermadu dalam
cangkir politik PKR. Jika digunapakai nasihat Khalid itu bererti
sejarah hitam PKR mungkin akan berulang.
Pertelagahan itu mengakibatkan pimpinan PKR dan menteri besar ketika
itu ‘berdamai’ dalam kamar hakim berikutan tindakan Khalid menyaman
pemimpin utama PKR kerana memfitnah beliau.
Sebagai jalan damai pimpinan PKR, terutama Setiausaha Agung ketika itu,
Datuk Saifuddin Nasution Ismail terpaksa meminta maaf pada Khalid yang
sekaligus mencalar nama baik dan integriti pimpinan PKR.
Cuma yang berbeza kali ini ialah menteri besar Selangor adalah Timbalan
Presiden PKR. Hakikat pimpinan parti mempersoalkan cara Azmin mentadbir
Selangor mengisyaratkan ada masalah besar dalam kepimpinan PKR.
Mengapa Azmin tidak mengamalkan konsep bermesyuwarah dengan pimpinan
parti? Adakah Azmin berpendapat bahawa pimpinan parti tidak mungkin
faham masalah dan cabaran membuat keputusan di negeri maju Selangor?
Mungkin seperti yang pernah dialami oleh Khalid, Azmin juga mendapati
pimpinan PKR tidak faham budaya politik Selangor dan gagal memadankan
keperluan, kepentingan dan harapan rakyat Selangor dengan kepentingan
PKR.
Hakikat PKR tidak dimaklumkan apa yang berlaku dalam kerajaan Selangor
mengisyaratkan ada jurang komunikasi di antara menteri besar dan
pimpinan parti itu.
Mungkinkah jurang ini wujud kerana rasa sakit hati dan cemburu di
kalangan pimpinan PKR dalam kontraversi pemilihan pengganti Khalid tahun
lalu masih belum sembuh?
Atau, sebenarnya krisis ini kini memasuki fasa kedua yang membabitkan
politik Pakatan Harapan yang telah berjaya menyisihkan PAS? Bagi Azmin
PAS amat relean bersama pakatan itu demi kestabilan kerajaan Selangor.
Bagaimanapun peristiwa politik mutakhir ini membayangkan penyokong Wan
Azizah yang gagal dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan tahun
lalu, sangsi kesediaan Azmin terus memanaskan kerusi Timbalan Presiden
PKR.
Mereka mula membaca setiap langkah dan keputusan Azmin sebagai
dayausaha mengukuhkan kedudukannya dalam parti hatta Azmin akan
berhajat berpindah menduduki kerusi presiden pula.