HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Oktober 2015

Amanah ingatkan PAS juga pernah angkat plakad di Dewan Rakyat

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyelar tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat lupa diri apabila bercakap mengenai protes menggunakan plakad.
 
Ketua Wanitanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, amalan memprotes dengan mengangkat plakad sebenarnya turut pernah dibuat oleh PAS pada tahun lepas ketika mereka masih bersama Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat.
 
Justeru beliau mempersoalkan tindakan Abdul Hadi yang kini mengambil pendekatan berasingan apabila tidak mahu bersama dengan gabungan Pakatan Harapan.
 
"Ini merujuk kepada angkat plakad 'Dimana Rm2.6 bilion?'.
 
"Ini bukan kali pertama kita angkat palakad, tahun lepas kita angkat plakad buku bajet dan kita juga sudah biasa mengangkat plakad Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan sebagainya.
 
"PAS telah bersama dengan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain dalam masa yang lepas untuk sama-sama angkat plakad ini, jadi kalau sekarang ini baru kita kata perkara ini tidak beradab, jadi yang lepas itu apa?," katanya kepada Antarapos ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, pada Rabu.
 
Beliau mengulas Abdul Hadi yang menegaskan, parti itu ingin menjadi pembangkang yang beradab di dalam Dewan Rakyat dengan mengamalkan pendekatan 'menerang bukan menyerang'.
 
Sehubungan itu, Hadi berkata, PAS mahu melaksanakan proses demokrasi yang beradab dan berakhlak di samping tidak melupakan konsep raja berperlembagaan selain memelihara konsep masyarakat majmuk.
 
Mariah turut memperingatkan bahawa PAS turut pernah melakukan perkara yang sama (mengangkat plakad) sekaligus mempersoalkan pendirian PAS yang tidak konsisten sekarang.
 
"Apakah masa itu kita tidak beradab dan sekarang kita semakin sopan, apakah masa itu kita ikut-ikutan? Maknanya kita tidak ada pendirian.
 
"Kalau kita ikut-ikutan, kita tidak ada pendirian, bagi saya mengangkat plakad ini adalah satu cara protes kerana ianya bukan sahaja berlaku di Parlimen kita tetapi berlaku di seluruh dunia ada," katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut mengambil pendirian 'tunggu dan lihat' kerjasama yang PAS mahu buat bersama Barisan Nasional (BN).
 
"Kita tunggu dan lihat sebanyak mana, sejauh mana Barisan Nasional (BN) akan mendengar dan mengambil saranan-saranan PAS untuk dilaksanakan.
 
"Sebab yang lepas-lepas pun, kita memberi cadangan-cadangan di Parlimen, jadi terpulang, kita tunggu dan lihat," katanya.
 
Presiden PAS semalam dalam sidang medianya di lobi Parlimen menegaskan, PAS akan menjalin kerjasama dengan semua parti termasuk kerajaan BN dalam semua perkara yang baik.
 
Oleh itu, kata Hadi, parti tersebut bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengemukakan perkara-perkara yang tidak dipersetujui secara baik termasuklah dalam isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).
 
 

Tiada ulasan: