IKHWAN HAZWAN
Bekas Menteri Penerangan,
Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini meramalkan kerjasama antara Umno dan
juga Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR, Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri
Zainuddin Maidin hari ini meramalkan kerjasama antara Umno dan juga Pas
dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata demikian selepas
membayangkan akan berlaku sesuatu dalam hubungan dua parti berkenaan, di
dalam akaun Twitternya semalam.
Menurut Zainuddin, rakyat dilihat dapat
menerima dengan positif kerjasama tersebut selepas Setiausaha Agung Pas,
Datuk Takiyuddin Hassan bersedia untuk merahsiakan siasatan terhadap
1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas dilantik mengganggotai
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Jelasnya, kerjasama tersebut dilihat
diperkuatkan dengan kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
yang bersedia untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan semua
parti lain di samping bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa
dilantik menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Ketua Pegawai
Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
“Takiyuddin
setuju untuk bersumpah menyimpan rahsia sebagai anggota PAC dalam
siasatan 1MDB seperti yang disyorkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk
Ahmad Zahid Hamidi berbanding dengan sikap DAP dan Abdul Hadi yang tidak
setuju dengan perbuatan pembangkang mengangkat plakad ‘Mana RM2.6
bilion’ di Dewan Rakyat yang dianggapnya tidak beradab.
“Kenyataan Hadi menyebut sedia
berkerjasama dengan semua parti adalah pekara biasa tetapi yang istemewa
dan luar biasa ialah ia termasuk BN,” katanya menerusi laman blognya, zamkata.blogspot.my.
Tambah bekas Ketua Pengarang Kumpulan
Utusan itu, turut menjelaskan bahawa perkembangan kerjasama antara Pas
dan Umno itu akan menggentarkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan juga
DAP.
Ujar Zainuddin, Amanah akan melihat ini
sebagai bahaya kepada masa depan pembangkang pada pilihan raya akan
datang sekaligus menyebabkan Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad
mencabar Pas menjelaskan pendirian sama ada berada dengan pembangkang
atau BN supaya rakyat senang membuat keputusan.
“Tetapi cabaran ini tidak dapat menutup
hakikat bahawa Amanah sendiri mempunyai banyak muka yang akan
mengelirukan rakyat kerana ia ada muka DAP, muka PKR, muka Pas, muka
Anwar Ibrahim dan bermuka-muka.
“DAP juga tentunya sedang gementar dengan
bayangan kerjasama Pas dengan BN kerana kacamata cauvanisnya nampak
kerjasama ini akan memberi kesan buruk kepada Pakatan Rakyat yang sedang
berada dalam keadaan terumbang ambing serta melihat perkembangan ini
adalah kemunduran Malaysia dari politik ‘Malaysian Malaysia’ yang sedang
rancak maju ke hadapan,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan