Walaupun dua bulan sudah berlalu, namun sehingga hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menyoal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadinya.
Dalam jawapan bertulis kepada Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low berkata kenyataan Najib akan dirakamkan apabila tiba masanya.
"SPRM juga ingin memaklumkan, setiap saksi atau individu yang berkaitan dengan kes ini akan dipanggil bagi tujuan siasatan.
"Setakat ini, keterangan perdana menteri belum lagi diambil dan ia akan dilakukan apabila tiba masanya nanti," kata Low dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa siasatan masih berterusan.
Pada sidang media di lobi Parlimen, Hanipa berkata kelewatan itu bukan petanda yang baik.
"Jawapan itu seolah-olah mereka tidak menyiasat. Bila mereka akan menyoal Najib? Ini adalah isu nasional dan antarabangsa.
"Sudah lebih dua bulan dan mereka tidak memanggilnya. [...] Perdana Menteri adalah orang utama yang seharusnya disiasatl," kata Hanipa dengan hampa.
Dalam satu kenyataan pada 5 Ogos, SPRM memaklumkan, suruhanjaya itu telah merakamkan kenyataan daripada penderma misteri dari Asia Barat berhubung wang itu dan merancang untuk mendapatkan kenyataan Najib juga.
Wang RM2.6 bilion dilaporkan disalurkan akaun bank peribadi Najib sejurus sebelum pilihan raya umum 2013.
Najib berulang kali menafikan wang berkenaan digunakan untuk kepentingan peribadi. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sumbangan itu dibuat sebagai penghargaan atas usaha Malaysia dalam memerangi keganasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan