HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Oktober 2015

Hanya 30 peratus pengguna patuhi had laju di LPT2

MALAYSIAKINI


 


Sikap pengguna yang memandu laju dengan purata melebihi had kelajuan 110 km sejam antara penyumbang berlakunya peningkatan kadar kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata menerusi kajian yang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR), hanya 30 peratus pengguna lebuh raya itu mematuhi had laju yang ditetapkan.

Beliau berkata 50 peratus lagi memandu lebih daripada 140 km sejam ketika menggunakan lebuh raya tersebut.

"Kami pernah merekod ada pengguna yang memandu mencecah 177 km sejam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di KM258.9 LPT2 di Kemaman semalam yang merupakan lokasi kemalangan meragut nyawa enam sekeluarga baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu Ir Rosli Othman dan Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman.

Menurutnya langkah penguatkuasaan telah dilakukan pihak polis dengan memasang lebih banyak perangkap had laju di sepanjang laluan 184 km LPT2 itu.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), LPT2 dari Jabor di Kemaman sehingga Gemuruh di Kuala Nerus meragut 85 nyawa sejak dibuka Januari 2011 secara berperingkat.

Pada 14 Oktober lalu, enam sekeluarga yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju Kuantan maut, selepas kereta jenis Toyota Camry yang dinaiki mereka terbabas sebelum terperosok ke bawah lori treler yang berhenti di lorong kecemasan.

Justeru Fadillah menasihatkan pengguna LPT2 supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan dan had kelajuan yang ditetapkan ketika mengguna laluan itu.

Katanya pihak JKR juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan elemen keselamatan terus dipertingkat termasuk meminta pihak konsesi membenarkan kiosk perniagaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) beroperasi bagi memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya itu.

Selain itu papan tanda amaran juga akan diperbanyakkan bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada para pemandu yang menggunakan laluan tersebut.

Menurut Fadillah, dianggarkan 80 peratus permukaan jalan sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berada dalam keadaan baik dan ia bukanlah faktor utama berlakunya kemalangan maut.
 
Beliau berkata pihaknya melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi membuat penilaian dan audit semula permukaan lebuh raya itu sama ada ia mematuhi kadar kelicinan yang ditetapkan atau sebaliknya.
 
Namun begitu, katanya masih terdapat beberapa kawasan yang beralun terutama di sekitar kawasan penyambung jambatan dan lokasi berhampiran pembentung di sepanjang laluan itu.
 
Menurutnya, beliau melihat sendiri semalam kaedah membuat audit menggunakan kenderaan pengimbas jalan (Ikram Road Scanner) iaitu kenderaan yang lengkap dengan peralatan canggih seperti kamera, mesin pemungut data serta mesin pengimbas berupaya mengesan struktur jalan.
 
Pihaknya membuat 'profiling' menggunakan kenderaan untuk melihat dari segi alunan jalan, keratan jalan serta kamera yang boleh menangkap keluasan jalan ataupun papan tanda yang dipasang mengikut standard yang ditetapkan ataupun tidak.
 
Jelasnya satu daripada audit telah siap dijalankan iaitu bagi melihat permukaan dan tahap kelicinan jalan itu sama ada mematuhi standard antarabangsa ataupun tidak yang mana permukaan licin boleh mendedahkan bahaya seperti mampu mengelincir kenderaan yang melalui jalan tersebut.
Malah Fadillah mengakui masih terdapat beberapa laluan beralun yang mungkin melebihi standard yang ditetapkan.
 
Menurutnya menerusi data yang diperoleh daripada LLM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu daripada punca berlaku kemalangan jalan raya disebabkan limpahan air serta air bertakung iaitu 72 kes direkodkan.
 
Katanya bagi mengatasi masalah itu, kawasan air bertakung dibuat peparitan supaya mencegah air daripada melimpah ke jalan raya hingga mendedahkan bahaya kepada pengguna.
 
Mengenai masalah alunan di LPT2, katanya tindakan sedang diambil oleh kontraktor kerana sebahagian lebuh raya itu masih di bawah bidang kuasa mereka.
 
Fadillah berkata pihaknya menganggarkan tempoh dua minggu diperlukan bagi membolehkan badan penilai bebas yang dilantik, membuat penilaian penuh keadaan lebuh raya itu.- Bernama
 
 

Tiada ulasan: