Oleh Lim Kit Siang
TANGGAL 27 Oktober pada 28 tahun lalu akan dikenang sebagai hari tangkapan besar- besaran Operasi Lalang yang menyaksikan 106 orang ditahan tanpa bicara mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Antara mereka, 49 orang termasuk ahli Parlimen dan aktivis sosial – dijatuhi hukuman penjara dua tahun manakala tiga akhbar utama tempatan ditutup.
Satu laporan antarabangsa yang kebetulan menyusul pada hari ulang tahun ke-28 yang paling gelap dalam perjuangan demokrasi dan hak asasi di Malaysia, menambahkan lagi rasa sedih dan pilu.
Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (HRW) berpangkalan di New York itu mengutuk penyalahgunaan kuasa berleluasa oleh seorang Perdana Menteri yang dilantik enam tahun lalu kerana menekan pengkritiknya.
Segala janji untuk mewujudkan era baru dalam demokrasi dan hak asasi manusia di Malaysia bukan sahaja tidak ditepati, malah tanpa rasa malu memakai gelaran gerakan moderat global yang tidakpun berfungsi.
Laporan setebal 145 halaman bertajuk Creating a Culture of Fear: The Criminalisation of Peaceful Expression of Malaysia itu juga mendedahkan bagaimana Datuk Seri Najib Razak gagal menghapuskan undang-undang drakonian yang menindas.
Malah, laporan itu mendedahkan bagaimana Najib, sebaliknya mewujudkan rejim baru – menggunakan ketakutan dan keganasan terhadap rakyat sehingga mengkritik pun menjadi suatu jenayah.
Rejim itu makin menonjol – di Malaysia mahupun pada peringkat antarabangsa apabila berlaku ribut skandal RM50 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ‘derma’ RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib. Ketika inipun, enam negara luar sedang menjalankan siasatan terhadap skandal itu.
Nyatalah, kebebasan bersuara dan memberi pendapat terutama mengkritik kerajaan pemerintah, kini sudah menjadi kesalahan berat di Malaysia. Lalu, untuk mengekal tampuk pemerintahan, kerajaan Najib tanpa rasa bersalah melanggar undang-undang negara.
Kebebasan demokratik dan hak asasi manusia rakyat Malaysia dinafin melalui usaha menakut-nakutkan bagi mendiamkan suara rakyat.
Kerana itulah, tiada sesiapa pun yang percaya apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – ketika menjawab soalan saya di Parlimen – menyakinkan, tidak ada salah guna kuasa dalam siasatan dan penghakiman kes berkaitan isu sabotaj, pengintipan dan tindakan yang mengancam demokrasi berparlimen.
Walhal, sewaktu meluluskan Seksyen 124B hingga 124N Kanun Keseksaan tiga tahun lalu, Parlimen memberi jaminan akta berkaitan bertujuan melindungi negara dari ancaman pengganas yang ‘mengancam demokrasi berparlimen’.
Kononnya, ia tidak akan digunakan terhadap pengkritik dan mereka yang menentang kerajaan tanpa terlibat sebarang bentuk keganasan.
Jaminan itu masih lagi segar dalam ingatan Ahli Parlimen pada 2012 sebaliknya pelbagai akta sudahpun disalah guna – bukan ke atas pengganas – tetapi terhadap pengkritik dan penentang kerajaan.
Ia termasuk pihak yang bekerjasama dalam proses siasatan terhadap skandal kewangan terbesar dalam sejarah tanah air – skandal 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib.
Penyalahgunaan kuasa itu bukan sahaja suatu putar belit dalam proses keadilan tapi perbuatan yang paling ‘mengancam demokrasi berparlimen’.
Pihak yang cuba mendedahkan skandal mega itu sebenarnya pejuang negara manakala pihak yang memperalat Seksyen 124 Kanun Keseksaan untuk menutup pendedahan skandal itulah sebenar-benar pengkhianat negara.
Rakyat perlu bangkit
Jadi, inilah masanya semua rakyat yang berprinsip, berkeyakinan dan memiliki idealisme – terutama dalam Kabinet dan Parlimen – perlu bangkit dan menuntut keadilan, kebebasan dan kerajaan demi kepentingan negara.
Malangnya, orang seperti demikian sukar ditemui, khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN).
Beberapa hari lalu, Ketua Pemuda UMNO yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengarahkan semua pihak supaya tidak masuk campur dalam siasatan skandal itu – kononnya untuk memastikan kredibiliti proses siasatan.
Saya tidak faham bagaimana seorang menteri Kabinet seperti Khairy boleh memberitahu orang ramai bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses siasatan terhadap skandal 1MDB itu, sedangkan SPRM sendiri menyatakan sebaliknya.
Malah, SPRM menegaskan mereka tidak lagi menyiasat 1MDB kerana kes itu dalam kuasa polis. SPRM juga berharap tiada pihak yang membuat apa-apa kenyataan mengaitkan SPRM dengan 1MDB.
SPRM menarik minat ramai pihak apabila membuat kenyataan bahawa mereka tidak pernah menafikan kesahihan diagram aliran yang disiar Malaysiakini berkaitan aliran wang melibatkan SRC International.
Bahkan, mereka juga tidak menafikan kesahihan kertas draf pendakwaan terhadap Najib. Jadi, adakah benar draf kertas pertuduhan yang mengaitkan Najib benar-benar ada di Pejabat Peguam Negara sebelum Abdul Gani Patail disingkir pada 27 Julai lalu?
* Terjemahan dari artikel di MalaysiaKini . Lim Kit Siang ialah Ahli Parlimen Gelang Patah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan