HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2015

MT UMNO maksudnya 'Muhyiddin Totok UMNO'

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
 
MT UMNO maksudnya 'Muhyiddin Totok UMNO'
Majlis Tertinggi UMNO maksudnya 'Muhyiddin Totok UMNO' - Gambar Fail
PELBAGAI cerita pejuang Melayu dalam UMNO sejak ia ditubuhkan sehingga kini.

Ia seumpama satu tangkal atau jampi yang menjamin sokongan berterusan semua ahli UMNO sekali gus memastikan tampuk pemerintahan negara tetap didominasi parti Melayu terbesar negara ini.

Namun, kisah pemimpin Melayu yang berselisih dengan pemimpin Melayu dalam satu parti juga tidak kurang jumlahnya.

Jika disenaraikan dari dahulu juga sehingga sekarang, mungkin berjela-jela panjangnya.

Apapun yang terjadi, tradisi di dalam UMNO akan tetap cuba menyembunyikan sebarang krisis atau pergolakan dalaman walaupun ia semakin hari menjadi barah yang bakal membunuh parti sedikit demi sedikit. Itu diakui ramai pemimpin UMNO sendiri.

Sedar atau tidak, peredaran zaman serta kecanggihan teknologi menjadikan banyak rahsia dalaman parti tidak lagi dapat diperam dan disembunyikan.

Sistem pesanan ringkas WhatsApp, perkongsian di Facebook, Twitter dan segala jenis media sosial di dunia ini menjadikan apa sahaja rahsia termasuk UMNO kini menjadi perbincangan terbuka di kedai kopi.

Apa yang menariknya, tokok tambah serta ramalan pakar politik kedai kopi yang dimuat naik semula di laman sosial menjadi viral serta mempengaruhi pembaca sekunder yang akan berkongsi berita itu dengan orang ketiga serta seterusnya.

Isu panas UMNO minggu ini tidak lain tidak bukan teka-teki hasil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang.

Rentetan kejadian 12 Oktober lepas yang membariskan beberapa pemimpin 'heavyweight' Barisan Nasional (BN) bersama-sama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media menentang penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang mungkin memberi impak kepada hasil mesyuarat MT UMNO kelak.

Pastinya kehadiran antaranya Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid menjadi salah satu isu yang tidak boleh dipandang enteng barisan MT UMNO sendiri.

Walaupun pada Mesyuarat MT UMNO 9 September lepas, spekulasi Muhyiddin akan ditendang keluar dari UMNO hanya spekulasi, khabar angin itu mula panas semula di dalam sistem WhatsApp kumpulan MT UMNO.

Rata-rata, topik perbincangan tertumpu kepada masa depan Muhyiddin dalam UMNO.

Isu Muhyiddin mula dibincangkan sejak minggu lepas dengan pelbagai andaian nasib Timbalan Presiden itu terutama menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada Disember depan.

Sumber berkata, Muhyiddin tidak akan dibuang dari parti kerana semangat totoknya kepada UMNO tidak boleh dipertikai lagi namun tindak tanduknya akhir-akhir ini dikatakan mengguris hati Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jika Muhyiddin digugur keahlian, pasti penyokongnya yang menunjukkan solidariti pada mesyuarat MT UMNO 9 September lepas akan mengulang tindakan berhimpun atau mungkin bertindak lebih jauh termasuk meninggalkan parti.

Kesannya pasti akan lebih buruk kepada UMNO dan sukar dirawat lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

Jadi sumber memberitahu, Muhyiddin berkemungkinan akan menjadi mangsa penyimpanan sejuk (cold storage) UMNO dan kuasanya akan dihadkan.

Muhyiddin dikatakan tidak akan diberi peluang untuk merasmikan persidangan sayap parti semasa Perhimpunan Agung UMNO kelak selain dinafikan menjadi pengerusi beberapa mesyuarat yang sebelum ini di bawah portfolio Timbalan Presiden itu sendiri.

Bagaimanapun, beberapa hari kebelakangan ini, isu itu dikatakan hanya spekulasi yang sengaja dibuat untuk memanaskan situasi dan landskap politik negara.

Muhyiddin sendiri mengakui ada mendengar khabar angin yang mengatakan wujudnya rancangan untuk menghalangnya daripada merasmikan Perhimpunan Agung Sayap UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO Disember depan.

Namun, nadanya seolah-olah memberi sindiran psikologi apabila menyebut dirinya bukan perogol atau peliwat dan mahu Najib segera mengaku kesilapan walaupun tidak mahu mendengar nasihatnya.

Apa-apa juga Muhyiddin tetap mengulangi penegasan dia bukanlah gunting dalam lipatan di dalam UMNO dan selain mempertahankan tindakannya yang berterusan lantang menyuarakan apa yang tidak kena di dalam UMNO sebagai manifestasi sayangkan parti.

Kenyataan Muhyiddin yang menegaskan tidak pernah gentar untuk berhadapan dengan segala kemungkinan termasuk implikasi terhadap kedudukannya dalam UMNO sebenarnya mengundang kepada panasnya spekulasi itu kembali.

Ditambah dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memberi bayangan terdapat tujuh pemimpin UMNO akan diambil tindakan menjadikan spekulasi asal di dalam WhatsApp MT UMNO itu mungkin menjadi kenyataan.
Kata Ku Nan, terdapat tujuh pemimpin UMNO yang terlibat berkemungkinan menerima hukuman masing-masing dalam waktu terdekat.

Ku Nan yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan turut menyamakan tujuh individu itu sebagai anai-anai atau duri di dalam daging yang harus dibuang selain mengakui sudah 'letih' dengan golongan yang dikatakan selama ini hanya menjatuhkan kredibiliti parti.

Apakah Muhyiddin juga termasuk di dalam kumpulan tujuh anai-anai atau duri dalam daging parti dan akan diambil tindakan dalam masa terdekat?

Jika ya, politik UMNO akan menjadi semakin rancak, bergoncang, bergegar dan ada kemungkinan boleh meletup.

Jika tidak, ia tetap menarik dengan jangkaan pelbagai lagi plot perselisihan dalaman serta teguran terbuka dari dalam UMNO sendiri kepada pemimpin tertinggi parti.

Pasti kumpulan WhatsApp MT UMNO akan kembali panas dengan ahli-ahli politik tertinggi parti merangkap ahli Kabinet memberi pelbagai spekulasi dengan versi masing-masing.

Tetapi umum jangan lupa, Muhyiddin itu seorang pejuang Melayu, bukan gunting dalam lipatan selain mengakui seorang totok UMNO sejak dulu, kini dan selamanya.

Andai kata Muhyiddin terkeluar dari senarai, siapa pula tujuh 'anai-anai' dalam parti yang menjadi sasaran untuk menerima hukuman UMNO selepas ini? 

Tiada ulasan: