HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2015

Tony Pua teruja menantikan sesi debat bersama Arul Kanda

Sathesh Raj, Astro Awani
 
Tony Pua teruja menantikan sesi debat bersama Arul Kanda
PUA: Saya akan bertemu Arul buat kali pertama dan bertanya soalan-soalan yang rakyat Malaysia sudah lama menantikan jawapannya. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Tony Pua melahirkan rasa teruja beliau apabila Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menyahut cabarannya untuk satu sesi bual bicara secara langsung atau debat tanpa sebarang syarat.

"Saya akan bertemu Arul buat kali pertama dan bertanya soalan-soalan yang rakyat Malaysia sudah lama menantikan jawapannya.

"Saya amat yakin bahawa pemenang terbesar daripada perbincangan secara langsung ialah rakyat Malaysia di luar sana yang kecewa, bingung dan mungkin keliru dengan penipuan yang kelihatan berlaku dalam 1MDB," kata Tony Pua dalam satu kenyataan sebagai reaksi balas kepada kenyataan Arul yang menarik balik  syarat yang dikenakan sebelum ini.

Tony juga yakin butiran mengenai sesi debat itu akan diuruskan kedua-dua belah pihak dalam masa terdekat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Salleh Said Keruak kerana menawarkan RTM untuk menjadi tuan rumah sesi debat berkenaan.

Tony Pua melontarkan cabaran buat Arul Kanda pada Oktober 29 agar mengadakan satu lagi wawancara langsung bersamanya susulan program khas "Bernama TV with Arul Kanda" yang disiarkan pada Rabu.

Arul Kanda ketika menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan dalam program itu antara lain berkata tiada apa yang hendak disembunyikan dan 1MDB bukan punca nilai ringgit jatuh.
Arul Kanda sebelum ini menyahut cabaran Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu untuk mengadakan satu wawancara secara langsung di televisyen.

Namun beliau mahu Tony Pua meletakkan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terlebih dahulu. 
 
 

Tiada ulasan: