HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2015

Gempar beg pakaian disangka bom

Bernama 





Pengunjung ke Menara 2 di Suria KLCC hari ini digemparkan dengan penemuan empat beg yang dikhuatiri mengandungi bom.

Beg berkenaan ditemui di bahagian tepi bangunan di antara pintu masuk utama Suria KLCC dan Menara 2 oleh polis bantuan KLCC pada kira-kira jam 10.30 pagi.

Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari IPD Dang Wangi lengkap berpakaian kalis letupan bergegas ke lokasi kejadian sebaik saja menerima panggilan.

Berikutan itu, anggota UPB melakukan prosedur meletupkan beg berkenaan kira-kira jam 1.45 petang di luar menara itu.

Namun tiada letupan berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama kemudian mengesahkan beg itu hanya mengandungi pakaian lelaki.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis bantuan pada pukul 12.35 tengah hari.

"Sepasukan bomba dan penyelamat dari balai Keramat dan Unit Hazmat dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan," katanya.

Beliau berkata selepas prosedur letupan, beg itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.- Bernama


Tiada ulasan: