HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2015

Umno Tak Mampu Berdepan ‘Kegilaan’ Ahli - Ku Nan

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor pada sidang media mengumumkan pelantikan sembilan lagi Ahli Majlis Tertinggi (MT) di pejabatnya di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya, Jumaat. -fotoBERNAMA
Tengku Adnan Tengku Mansor
 
 
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Umno sudah tidak mampu mendengar kenyataan-kenyataan tidak masuk akal yang dikeluarkan segelintir ahlinya.

Tidak tahan lagi dengan keadaan ini, beliau berkata, tujuh pemimpin Umno kini sedang dalam pemerhatian untuk disiasat.

Katanya, ini berikutan kelantangan mereka mengeluarkan kenyataan buruk terhadap parti itu.

"Kita letih dan penat dengan ahli yang keluarkan kenyataan bukan-bukan. Kita siasat dan tengok hasil siasatan. Ada tujuh orang, saya tak nak namakan mereka.

"Mereka tahu siapa diri mereka, parti kita ada Perlembagaan sendiri, jawatankuasa disiplin, ada kod etika, kita tidak mampu nak berhadapan 'kegilaan' ini lagi," katanya yang ditemui pemberita di bangunan Parlimen, Rabu.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, jika mana-mana ahli Umno tidak suka berada dalam parti, mereka boleh mengambil keputusan keluar daripada parti yang dianggap sebagai perosak dalam parti.
"Kalau tidak suka dengan parti, tinggalkan parti. Kita tak nak ada anai-anai.

"Saya tak komen (lanjut) kerana jawatankuasa sedang jalankan tugas," katanya yang lebih dikenali sebagai Ku Nan.

Ku Nan berkata, sebaik sahaja siasatan selesai, hasil siasatan akan dibentangkan kepada Majlis Presiden untuk mendapat kelulusan sebelum Lembaga Disiplin menjalankan siasatan.

"Sepanjang tempoh itu kita akan gantung keahlian dan sebarang jawatan yang disandang," katanya.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan sama ada individu-individu yang disiasat itu memegang jawatan dalam Umno atau tidak.

Mengenai tindakan Umno membatalkan mesyuarat ahli Majlis Tertinggi (MT) pada Jumaat, beliau berkata ia perkara biasa walaupun terdapat anggapan ia mempunyai kaitan dengan gerakan untuk menyingkirkan orang nombor dua dalam parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"MT batal perkara biasa, kalau tiada benda nak dibincangkan, kita batalkan," katanya.

Tiada ulasan: